• Lukisan 7D Berdasarkan Fantasi Hikayat Kota Dewa

    Published: Thursday, 25 January 2018
    A- A+


    PASIR MAS – Pelukis kontemporari, Ngdawiyah lsmail, 43, mempamerkan keistimewaannya tersendiri apabila berjaya menyiapkan lukisan mural tujuh dimensi (7D) di sebuah ruang berukuran kira-kira 300 meter persegi dalam rumah rakannya di Kampung Kubang Batang di sini.

    Beliau yang berasal dari Grik, Perak, sebelum ini banyak menghasilkan lukisan bercorak abstrak namun bakat yang ada tidak disia-siakan bagi menyahut cabaran menghasilkan satu lukisan dimensi berdasarkan imaginasinya sendiri.

    Beliau berkata dengan sokongan rakannya iaitu pemilik rumah tersebut, Siti Zuraida Awang, 37, lukisan berkenaan berjaya disiapkan dalam tempoh sebulan dengan kos kira-kira RM5,000.

    “Segala elemen di dalam lukisan yang saya hasilkan ini mempunyai kaitan dengan watak dan cerita di dalam buku Hikayat Kota Dewa. Waktu melukis pula banyak dilakukan pada waktu malam atau awal pagi kerana ketika itu kita lebih cenderung untuk menggunakan warna lembut dan sejuk,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Beliau berkata lukisan tersebut didefinasikan sebagai 7D kerana sekiranya seseorang itu berdiri di satu ruang di tengah lukisan berkenaan dan sekiranya diperhatikan sekeliling dirasakan lukisan itu seolah-olah ‘hidup’.

    Ngdawiyah berkata sebelum ini ramai yang menghasilkan lukisan 3D dan beliau berusaha untuk membawakan kelainan melalui lukisan 7D tersebut.

    Katanya kesemua watak pada lukisannya itu hanyalah imaginasinya sahaja dan diterjemahkan ke dalam seni lukisan yang menakjubkan.

    “Saya menggunakan sepenuhnya ruang yang disediakan di rumah banglo ini termasuk dinding, lantai dan siling supaya ia kelihatan betul-betul menarik,” katanya yang pernah berkunjung ke England, Perancis, Switzerland dan Austria bagi melihat perkembangan seni lukis di negara berkenaan.

    Dalam perkembangan sama, Siti Zuraida berkata beliau bertuah kerana Ngdawiyah sanggup ‘berkampung’ di rumahnya itu selama dua bulan bagi menghasilkan lukisan fantasi itu. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Lukisan 7D Berdasarkan Fantasi Hikayat Kota Dewa "