• Li Jane Menang Terbuka Brunswick Ballmaster

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Atlet boling negara, Sin Li Jane menjuarai Kejohanan Brunswick Ballmaster di Helsinki, Finland, kelmarin.

    Bagi atlet berusia 26 tahun dari Perak itu, ia adalah gelaran ketiga Jelajah Boling Eropah (EBT) sejak memenangi Kejuaraan Masters EBT di San Marino dan Terbuka Track Dream Bowl-Palace kedua-duanya pada 2016.

    Pada saingan final di Tali Bowl, kelmarin, Li Jane - yang menamatkan musim lalu sebagai atlet boling nombor dua Asia - menewaskan atlet Finland, Kimmo Lehtonen 277-174.

    Sebelum itu, Li Jane, yang juga pemain tunggal Malaysia layak ke separuh akhir (Final Step 4), apabila menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan A dengan mengumpul 3,670 jatuhan pin.

    Pada separuh akhir, Li Jane mengatasi naib juara Kumpulan B, Bill O'Neill dari Amerika Syarikat (AS) 247-238 manakala juara Kumpulan A, Cherie Tan dari Singapura tewas 268-211 kepada Lehtonen.

    Li Jane ketika dihubungi berkata: "Saya rasa semua yang berlaku ada sebab. Hanya minggu lalu, saya terpaksa berhenti pada Final Step 1 (Kejohanan Antarabangsa AIK) di Sweden, kerana saya rasa tidak begitu sihat.

    "Ini pastinya permulaan yang bagus untuk musim ini, dan saya harap rentak ini akan berterusan.

    "EBT bukanlah sesuatu yang mudah. Saya pernah cuba untuk final ini."

    Li Jane yang menyasarkan untuk beraksi baik pada Sukan Asia pada Ogos, meraih 10,000 euro (RM48,000) selepas kemenangan di Finland.

    Saingan seterusnya buat atlet negara ialah Cabaran Brunswick Euro di Munich, Jerman pada Mac. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Li Jane Menang Terbuka Brunswick Ballmaster "