• Lelong Haiwan Online

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Jika jual beli pakaian atau kosmetik dalam talian dianggap perkara biasa bagaimana pula jika anda ditawarkan buaya tembaga, anak beruang, lotong, ular atau anak Orang Utan.

    Itu antara kegiatan jenayah dilakukan 51 ‘kaki lelong siber’ yang cuba memasarkan haiwan liar dilindungi dan terancam ini melalui Internet.

    Aktiviti perdagangan hidupan liar secara haram ini kebanyakannya dilakukan golongan belia tempatan yang mahu mendapatkan wang mudah termasuk menjadi orang tengah.

    Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Dr Abdul Kadir Abu Hashim berkata, seramai 56 ‘pakar lelong’ binatang di dalam laman sosial diberkas pihaknya sejak Januari 2013 hingga Jun tahun lalu.

    Menurutnya, bilangan jenayah siber membabitkan penjualan hidupan liar melalui dalam talian didapati meningkat setiap tahun berdasarkan bilangan individu yang dijejaki dan diberkas.

    “Pada 2013, hanya seorang individu ditahan namun angka meningkat kepada 32 individu pada tahun 2014.

    “Pada 2015 pula, lapan individu ditahan diikuti 13 individu pada 2016. Manakala pada tahun lalu seramai lima suspek ditahan antara Januari sehingga Jun,” katanya.

    Kadir berkata, pihaknya serius dalam membendung kegiatan penjualan hidupan liar dilindungi melalui operasi Op Taring dijalankan secara berterusan.

    “Kami mengesan dan memberkas puluhan pemilih sesawang sosial khususnya Facebook yang mendalangi penjualan hidupan liar secara haram di negara ini.

    “Ramai antara mereka sudah diheret ke mahkamah untuk pendakwaan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya.

    Beliau mengakui kecanggihan teknologi dan permintaan tinggi dalam kalangan penggemar haiwan eksotik menjadi punca jenayah ini terus aktif walaupun tindakan pemantauan dilakukan berterusan.

    “Modus operandi mereka sentiasa berubah dan menggunakan kaedah penyamaran.

    Namun kami turut mempunyai unit siber bagi menjejaki golongan ini.

    “Saya beri amaran kepada mereka, pegawai Perhilitan kami terlatih dan mampu menjejaki mereka hingga ke pintu rumah,” katanya.

    Perhilitan sebelum ini berjaya menyelamatkan haiwan liar dilindungi yang dijual melalui dalam talian antaranya anak lotong, musang dan kucing batu Asiatic Leopard Cat hasil serbuan di ibu kota dan Negeri Sembilan pertengahan tahun lalu.

    Malah sindiket turut pernah menawarkan buaya tembaga, mengkira, kucing batu dan beruang matahari dan pelbagai burung melalui taktik sama.

    Menurutnya, 275 operasi dilakukan pihak Perhilitan sejak Januari hingga September 2016 membabitkan operasi Jerat, Op Perniagaan, Op Penyeludupan, Op Pameran dan Operasi Khas di seluruh negara.

    “Malah sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini (2016), seramai 51 pemburu haram diberkas anggota Perhilitan membabitkan 39 warga Malaysia, tujuh Indonesia dan lima Kemboja.

    “Ini membabitkan operasi di Taman Negara, Taman Negara Endau Rompin, Taman negara Royal Belum dan Rizab Hidupan Liar Krau. Operasi 1MBEON ini turut mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Lelong Haiwan Online "