• Lelaki, Wanita Ditangkap Selepas Gagal Sembunyi Dadah

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Polis Kuching berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Vietnam selepas gagal menyembunyikan ketulan kristal dipercayai dadah dalam satu serbuan di sebuah hotel bajet di bandar ini Jumaat lalu.

    Suspek masing-masing berusia 29 dan 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.40 pagi Jumaat lalu selepas pihak polis berjaya menemui dadah seberat 0.32 gram berkenaan disembunyikan.

    Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai yang mengesahkan kejadian terbabit berkata, serbuan dan tangkapan dibuat susulan maklumat orang awam serta risikan polis berkenaan aktiviti penyalahgunaan dadah tersebut.

    Menurutnya, pemeriksaan awal yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek tidak mendapati sebarang unsur jenayah namun hasil pemeriksaan terperinci anggota polis menjumpai satu peket plastik mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

    “Hasil ujian air kencing kedua-dua suspek didapati kedua-duanya disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan suspek kini ditahan reman untuk menjalani siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-Sarawakiana



  • No Comment to " Lelaki, Wanita Ditangkap Selepas Gagal Sembunyi Dadah "