• Lelaki Serang Bapa Tiri, Tertumbuk Muka Bayi 8 Bulan

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+


    Nasib malang menimpa seorang bayi berusia lapan bulan apabila dia terkena tumbukan kuat pada bahagian muka selepas seorang lelaki menyerang bapa tiri mangsa di bandar Palmir, barat Argentina.

    Dalam kejadian semalam, mangsa dikendong bapa tirinya, Gerardo Gomez Perez sebelum penyerang yang dikenali sebagai Gustavo Mesa melakukan serangan terhadap lelaki itu di sebuah pasaraya di bandar tersebut, lapor Daily Mail.

    Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dirakam di tempat kejadian memaparkan suspek secara agresif cuba menumbuk bapa tiri bayi terbabit, namun tumbukan tersebut tersasar lalu mengena pada bahagian muka mangsa.


    Tumbukan kuat itu menyebabkan mangsa terhuyung-hayang ke kiri dan kemudian ke kanan kerana bapa tirinya cuba untuk mengelak tumbukan bertubi-tubi yang dilepaskan penyerang berkenaan.

    Gerardo kemudian meletakkan mangsa di tepi sebelum membuat serangan balas terhadap Gustavo, sehingga menyebabkan seorang lelaki dipercayai pekerja pasaraya tersebut terpaksa masuk campur bagi menghentikan pergaduhan itu.

    Daily Mail memetik akhbar tempatan melaporkan mangsa pada mulanya dikatakan patah rahang akibat serangan tersebut, namun kemudiannya mengesahkan pukulan itu tersasar dan hanya mengena tepi wajah bayi terbabit dan mangsa tidak cedera parah.

    Sumber rapat penyiasat memberitahu akhbar tempatan: “Nasib baik hanya terdapat benjolan pada dahi bayi terbabit akibat tumbukan itu.”

    Difahamkan, pergaduhan antara kedua-dua lelaki itu berpunca daripada dendam lama.

    Susulan insiden tersebut, ibu bayi terbabit membuat laporan dan pihak berkuasa berjaya menahan penyerang.

    Pendakwa raya negeri Raul Buscema berkata pihaknya sedang menunggu laporan perubatan daripada doktor sebelum memutuskan tuduhan ke atas Gustavo.

    Pegawai penyiasat juga menafikan dakwaan mangsa dikejarkan ke pusat rawatan rapi susulan terkena tumbukan tersebut. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Serang Bapa Tiri, Tertumbuk Muka Bayi 8 Bulan "