• Lelaki Pakistan Dikait Dengan Daesh Pernah Ke Malaysia

    Published: Wednesday, 17 January 2018
    A- A+


    BANGKOK – Lelaki Pakistan yang ditahan pihak berkuasa Thailand beberapa hari lepas atas dakwaan mengeluarkan pasport dan dokumen perjalanan lain palsu untuk militan Daesh dipercayai pernah ke Malaysia baru-baru ini untuk bertemu seorang lelaki yang ada kaitan dengan Al-Qaeda.

    Seorang sumber keselamatan serantau mendakwa lelaki itu memasuki Malaysia menggunakan pasport palsu untuk bertemu seorang bernama ‘Atiq’, juga dikenali sebagai ‘Ghulam Farid’, suspek amat dikehendaki kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

    Atiq merupakan individu paling dikehendaki oleh pihak berkuasa Sepanyol atas dakwaan terlibat dalam membekalkan dokumen perjalanan palsu kepada pihak-pihak penganas yang bertanggungjawab terhadap kes pengeboman di Madrid pada 2004 yang mengakibatkan 191 orang terbunuh.

    Pendedahan tentang pertemuan antara lelaki Pakistan itu dan ‘Atiq’ di Malaysia perlu diteliti dengan terperinci, kata sumber itu yang enggan dikenali berikutan sensitiviti maklumat yang dikongsikan dengan Bernama di sini pada Rabu.

    Kedua-dua suspek, menurutnya, dipercayai mempunyai rangkaian terancang di Malaysia dengan mereka didakwa membekalkan dokumen perjalanan palsu kepada pihak yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dan kumpulan subversif lain di negara itu.

    Lelaki Pakistan itu ditahan sepasukan polis dan tentera Thailand di sebuah unit kondominium di Bangkok pada Ahad lepas. Pihak berkuasa menemukan empat pasport India dan tiga pasport Singapura palsu semasa dia ditahan manakala pemeriksaan di unit kondominium itu menemukan peralatan untuk membuat dokumen palsu.

    Sumber yang dipetik oleh media tempatan berkata pihak berkuasa Thailand telah meminta bantuan rakan mereka di Malaysia dalam menjalankan siasatan terhadap lelaki Pakistan itu.

    Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan mengesahkan penahanan lelaki Pakistan itu semasa ditanya oleh media pada Selasa.

    Prawit, yang juga Menteri Pertahanan dan bertanggungjawab ke atas polis berkata, lelaki Pakistan itu dipercayai mengeluarkan pasport dan dokumen perjalanan lain palsu dalam usaha untuk membawa masuk individu yang ada kaitan dengan Daesh dari Timur Tengah ke Thailand.

    Bagaimanapun usaha untuk membawa masuk individu ada kaitan dengan Daesh ke Thailand gagal dilakukan, katanya.

    Sementara itu, sumber keselamatan serantau itu turut memberitahu Bernama bahawa lelaki Pakistan itu pernah ditahan di Thailand pada 2015 dan telah dihantar pulang ke negaranya.

    Sumber itu berkata lelaki Pakistan itu turut terlibat dalam penyeludupan mata wang Rupee palsu ke India dengan bantuan dua lagi lelaki Pakistan yang berpangkalan di Bangkok yang juga telah dihantar pulang ke Pakistan oleh pihak berkuasa Thailand. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Pakistan Dikait Dengan Daesh Pernah Ke Malaysia "