• Lelaki Menyamar Pegawai Kastam Ditahan

    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+


    BATU PAHAT: Seorang lelaki yang menyamar pegawai kastam dan memperdayakan sebuah syarikat membayar RM373,000 Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepadanya, ditahan polis di Taman Pulai Utama, Johor Bahru, awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi tadi itu, suspek yang berusia 42 tahun ditahan polis di sebuah rumah di taman berkenaan selepas mangsa membuat laporan polis semalam.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata hasil siasatan awal mendapati modus operandi digunakan suspek adalah menyamar sebagai pegawai kastam dan memperdaya mangsa dalam urusan penyelesaian bayaran cukai GST.

    Katanya, siasatan mendapati suspek menelefon mangsa yang juga pengarah syarikat pengangkutan di Senggarang, dekat sini, pada Jun lalu, mendakwa sebagai pegawai kastam sebelum memaklumkan mangsa tidak membuat bayaran cukai GST berjumlah RM130,000.

    Katanya, suspek kemudian memaklumkan mangsa, dia boleh membantunya dalam urusan pembayaran cukai GST dan berjanji menolong pengadu mendapatkan diskaun sebanyak 35 peratus daripada jumlah sebenar cukai berkenaan.

    "Suspek mengarahkan mangsa berjumpa dan berbincang dengannya di hadapan Pejabat Kastam Johor Bahru Ogos lalu sebelum bersetuju membantu mangsa dengan potongan diskaun cukai 35 peratus.

    "Mangsa dimaklumkan hanya perlu membuat pembayaran berjumlah RM66,000 berbanding dengan jumlah asal RM130,000. Selain itu, suspek juga turut menawarkan empat kereta Toyota iaitu jenis Estima, Hilux, dua Land Cruiser serta 35 tan besi plat dan keluli dengan harga murah.

    "Mangsa kemudian membuat bayaran sebanyak RM373,000 melalui 25 transaksi ke dalam beberapa akaun suspek selepas memperoleh pinjaman bank berjumlah RM500,000.

    "Namun pada 28 Disember lalu, pejabat mangsa didatangi pihak Kastam Batu Pahat menyatakan bahawa syarikatnya masih tidak menjelaskan bayaran cukai GST dan tindakan akan diambil ke atasnya membuatkan mangsa terkejut dan tidak berpuas hati," katanya.

    Abdul Wahib berkata, semalam mangsa pergi ke Pejabat Kastam di Johor Bahru untuk mencari suspek, namun pejabat berkenaan mengesahkan hasil semakan tiada pegawai berkenaan dan dia ditipu dalam urusan pembayaran cukai GST yang dilakukan, selain pemeriksaan lanjut mendapati empat kereta Toyota serta empat kontena besi plat dan keluli ditawarkan juga tidak wujud.

    Katanya, bertindak atas maklumat mangsa yang membuat laporan, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Pulai Utama, Johor Bahru dan berjaya menahan suspek.

    Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM68,760, beberapa telefon bimbit dan sehelai jaket berlogo kastam.

    "Suspek sudah direman pagi tadi untuk siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Menyamar Pegawai Kastam Ditahan "