• Lelaki Bunuh Jiran, Asyik Tanya 'Bila Nak Kahwin?'

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+

    GARUT: Seorang lelaki nekad membunuh seorang jirannya yang sedang hamil, gara-gara terlalu kerap ditanya tentang dirinya yang masih membujang, lapor portal berita Detik.com.

    Pemuda berusia 28 tahun yang hanya dikenali dengan nama Nunur itu membunuh wanita bernama Iis Aisyah pada Jumaat (19 Januari 2018) lalu di Kampung Pasir Jonge, Desa Sukawangi, Singajaya, Garut di Jawa Barat.

    Pesuruhjaya Polis Garut, Budi Satria Wiguna berkata, sewaktu kejadian, Nunur sedang duduk termenung di depan rumahnya. lis yang melintas di depannya terus menasihatkan Nunur supaya cepat berkahwin.

    “Suspek menyatakan bahawa wanita itu berkata ‘cepatlah kahwin, yang lain semua sudah menikah, kenapa kau tak kahwin-kahwin?’. Ternyata kata-kata itu menyinggung emosi suspek,” kata Budi Satria seperti yang dipetik dalam media tempatan.

    Lantaran rasa dirinya terhina, Nunur datang ke rumah mangsa. Nunur lantas dipelawa masuk ke ruang tamu kerana mangsa tidak menyangka sebarang ancaman daripadanya.

    Menurut polis, sewaktu mangsa hendak menuju ke salah satu bilik di rumah itu, Nunur mengekori dari belakang lalu menolaknya ke atas katil.

    Walaupun cuba melawan dengan menggigit jari suspek, itu tidak berupaya melawan tenaga dan kemarahan suspek. Di situ, mangsa telah dicekik hingga mati.

    “Suspek sempat mencuri wang mangsa berjumlah 800,000 Rupiah (RM230) dan sebuah telefon bimbit,” ujar Budi Satria.

    Suspek seterusnya melarikan diri ke Kalideres, Jakarta namun pihak berkuasa berjaya mengesannya lalu ditangkap.

    Polis turut menyita beberapa barang bukti lain seperti motosikal, bantal, selipar, baju kemeja dan kain. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Bunuh Jiran, Asyik Tanya 'Bila Nak Kahwin?' "