• Lelaki Aktif Samun Di Kota Samarahan, Kuching Ditangkap Bersama Pistol

    Published: Thursday, 25 January 2018
    A- A+

    Lelaki yang melakukan sekurang-kurangnya tiga kes samun bersenjata api di sekitar Kota Samarahan dan Kuching ditahan dan sepucuk pistol angin dirampas polis, petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan polis di pusat beli-belah di Kuching pada 12.55 tengah hari oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, 11 Januari lalu.

    Menurutnya, hasil siasatan lanjut yang dijalankan terhadap penganggur itu kemudiannya membawa kepada penemuan sepucuk pistol angin bersama kelopak peluru di rumah sewanya di Riveria Bay, Kota Samarahan, 1.40 tengah hari semalam.

    Dev berkata, pistol angin berkenaan yang disorokkan suspek di atas siling plaster rumah berkenaan dipercayai digunakan suspek dalam beberapa siri samun yang dilakukan bulan lalu dan awal bulan ini.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati senjata berkenaan menyerupai pistol automatik selain polis menemui pelbagai barangan yang dipercayai hasil samun yang dilakukan suspek,” katanya di Kuching, hari ini.

    Beliau berkata, pada 9.10 pagi 10 Disember lalu, suspek memecah masuk pusat agama di Jalan Tun Abang Haji Openg di Kuching dan melarikan beg tangan kakitangan wanita berusia 66 tahun yang mengandungi wang tunai RM500 bersama dokumen peribadi dan kunci.

    Katanya, lapan hari kemudian pada jam 3 pagi, suspek meneruskan kegiatannya dengan memecah masuk rumah wanita berusia 35 tahun menerusi tingkap bilik tidur apartmen di Riveria Bay, Kota Samarahan dan melarikan wang tunai RM100 sebelum mengikat mangsa kerana tidak berpuas hati dengan jumlah wang yang diserahkan kepadanya.

    “Suspek seterusnya memecah masuk tadika di Stutong pada 4 Januari lalu jam 8 malam sebelum melarikan dua telefon bimbit milik pekerja premis berkenaan,” katanya.

    Tambahnya, berdasarkan laporan yang diterima daripada semua mangsa, lelaki terbabit berjaya ditahan dan polis percaya suspek turut melakukan beberapa lagi kes sama sebelum ini.

    Beliau berkata, suspek kini direman sehingga 29 Januari untuk siasatan lanjut atas kesalahan samun menggunakan senjata api.-myMetro
  • No Comment to " Lelaki Aktif Samun Di Kota Samarahan, Kuching Ditangkap Bersama Pistol "