• Lebih 2 Tan Minyak Masak Dirampas

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    KANGAR: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) merampas lebih dua tan minyak masak dan sejumlah tepung gandum dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, dekat sini, semalam.

    Semua barang kawalan itu dirampas selepas ditemui dalam empat kenderaan membabitkan sebuah lori dan tiga pikap, ketika masing-masing melalui Pos Pemeriksaan AKSEM di Wang Kelian, antara jam 5 hingga 5.30 petang semalam.

    Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis, Jamal Nor Ahmad Harun, berkata selain rampasan barangan kawalan bersama kenderaan, pihak AKSEM turut menahan empat lelaki berusia antara lingkungan 30-an hingga 40-an yang memandu kenderaan terbabit.

    Mengulas lanjut, katanya 1,700 kilogram (kg) minyak masak paket sekilogram yang dianggar bernilai RM4,250 dirampas daripada lori dipandu warga tempatan ketika dalam perjalanan menuju negara jiran.

    Beliau berkata, untuk tiga pikap yang masing-masing dipandu warga Thailand pula, pihaknya menemui keseluruhan 240kg tepung gandum, 254kg minyak masak paket dan 36 liter minyak masak botol.

    "Berdasarkan pemeriksaan, semua suspek gagal mengemukakan dokumen kebenaran mengeksport, kecuali menunjukkan resit belian bertulis tangan.

    "Siasatan awal mendapati bekalan minyak masak dan tepung gandum itu bukan daripada pembekal tempatan dan semua suspek dipercayai menerima upah daripada pihak tertentu untuk membawa barangan terbabit ke negara jiran."

    "Kita tidak menolak kemungkinan keempat-empat pemandu kenderaan terbabit bukanlah satu sindiket dan mungkin kegiatan terbabit dilakukan secara persendirian berdasarkan permintaan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

    Jamal Nor berkata, nilai rampasan termasuk kenderaan dalam keempat-empat kes itu dianggar berjumlah RM165,584 dan semuanya diserahkan kepada pihak KPDNKK untuk siasatan lanjut.

    "Semua empat lelaki ditahan dalam kes itu dibebaskan dengan jaminan selepas dirakam percakapan masing-masing untuk siasatan mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih 2 Tan Minyak Masak Dirampas "