• Lebih 180,000 Pencari kerja Berjaya Ditempatkan Pada 2017

    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA - Sebanyak 183,433 pencari kerja berjaya ditempatkan dalam pelbagai kategori pekerjaan sepanjang tahun lepas, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.

    Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 57,320 orang atau 31 peratus pencari kerja itu merupakan siswazah dan 126,113 orang atau 69 peratus bukan siswazah.

    Seramai 57,366 pencari kerja itu berjaya dipadankan dengan pekerjaan yang ditawarkan majikan untuk ditempatkan dalam pekerjaan dalam tempoh kurang daripada sebulan melalui pelbagai program kerjaya yang dianjurkan JobsMalaysia.

    “Pasaran buruh semasa dalam negara turut menyaksikan penggajian tenaga kerja asing sebanyak 13 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja dalam negara iaitu 1,732,944 buruh asing manakala 183,000 terdiri daripada golongan pegawai dagang.


    "Keutamaan bagi mengisi peluang-peluang pekerjaan sentiasa diberikan kepada pekerja warganegara terlebih dahulu, beberapa intervensi berterusan telah pun dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Intervensi yang dilaksanakan kerajaan, khususnya bagi mengawal pengambilan pekerja asing, adalah berkaitan pelaksanaan dasar penggajian pekerja asing yang ketat, katanya.

    “Undang-undang juga tidak membenarkan mana-mana majikan yang hendak mengurangkan tenaga kerja untuk menamatkan perkhidmatan pekerja tempatan melainkan pekerja asing dalam kategori pekerjaan yang sama ditamatkan terlebih dahulu,” jelasnya.

    Riot berkata, laporan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi tempoh Januari hingga Disember 2017 menunjukkan seramai 35,097 pekerja terlibat dengan pemberhentian, yang menurun 6.2 peratus berbanding 37,699 orang pada 2016.

    Daripada jumlah tersebut, seramai 31,159 pekerja atau 89 peratus diberhentikan melalui pemberhentian biasa berbanding 3,938 pekerja atau 11 peratus diberhentikan melalui pemberhentian secara sukarela (VSS).

    Statistik juga menunjukkan pemberhentian pekerja tertinggi berlaku dalam sektor pembuatan iaitu sebanyak 25,370 orang (72 peratus) manakala kategori pekerjaan yang merekodkan pemberhentian pekerja tertinggi ialah Operator dan Pemasang Loji dan Mesin iaitu sebanyak 11,113 (32 peratus) orang pekerja, katanya.

    Riot berkata Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh bagi 2017 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pula menunjukkan bahawa lebih 90 peratus peluang pekerjaan baharu diwujudkan dalam sektor perdagangan borong dan runcit.

    Peningkatan peluang pekerjaan tersebut adalah berikutan peningkatan pelaburan terutamanya sektor swasta sebanyak RM113.5 bilion seperti yang dilaporkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam Laporan Ekonomi 2017/18 sehingga September 2017 terutamanya dalam sektor perkhidmatan (61 peratus) dan perkilangan (30 peratus), katanya.

    Dalam pada itu, Riot berkata kerajaan memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) berkuat kuasa Januari ini sebagai jaminan kepada para pekerja yang hilang pekerjaan untuk segera dibantu memandangkan terdapat keadaan di mana bayaran pampasan oleh majikan tidak dibayar dengan segera atau pun langsung tidak dibayar.

    “Pelbagai insentif dilaksana kerajaan untuk membantu majikan dan pencari kerja tempatan dalam meningkatkan tahap produktiviti dan penyertaan guna tenaga dalam pasaran kerja termasuk meningkatkan akses kepada kemudahan latihan kemahiran yang disediakan bagi memenuhi keperluan industri dan sesuai dengan perubahan keperluan kerja masa hadapan,” katanya.

    Antara inisiatif kerajaan adalah memperluas akses bagi mendapat latihan dalam bidang kemahiran melalui penubuhan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), menyediakan kemudahan pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) serta mengukuhkan dan memperkasakan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) melalui inisiatif seperti 1MalaysiaSkills Training and Enhancement for the Rakyat (1MASTER) yang dilaksanakan dengan kerjasama ILKA dengan mengguna pakai National Occupational Skills Standard (NOSS) sebagai rujukan utama dan menubuhkan 1Malaysia Outplacement Centre (1MOC). – Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Lebih 180,000 Pencari kerja Berjaya Ditempatkan Pada 2017 "