• Lapan Fokus KDN Pada 2018

    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+

    MEMPERKUKUH keselamatan sempadan negara menjadi antara lapan fokus utama ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mencapai 25 Petunjuk Indeks Prestasi Utama (KPI) digariskan kerajaan tahun ini.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kementerian akan terus memperkukuhkan keselamatan negara bagi membanteras pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan.

    Beliau berkata, selain itu, kementerian juga akan mempelbagaikan inisiatif mendekati komuniti sebagai usaha mencegah jenayah dan meningkatkan persepsi rasa selamat dalam kalangan rakyat.

    "Selain itu, kementerian akan memperketatkan peraturan dan mempertingkatkan penguatkuasaan untuk membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dan meningkatkan kesedaran pencegahan jenayah melalui kempen di institusi pendidikan, komuniti, tempat kerja dan media sosial.

    "Dalam pada itu, kementerian juga akan memperhebatkan program koreksional, rawatan, pemulihan dan program selepas pemulihan bagi mengekang kadar pengulang jenayah dan penagihan dadah serta salah guna bahan berulang," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Perancangan Strategik KDN 2018, hari ini.

    Katanya, fokus lain termasuk memperkemaskan strategi pencegahan dan kawalan radikalisme, ekstremisme dan usaha memerangi keganasan global serta menjunjung integriti dalam setiap tindakan supaya imej KDN sentiasa terpelihara.

    Ahmad Zahid berkata, kementerian juga akan membudayakan pemikiran tanpa kotak, minda strategik dan minda keselamatan dalam kalangan warga KDN.

    Menurutnya, beliau berharap agar pencapaian diperolehi KDN sebelum ini dapat dipertahankan pada 2018 biarpun jumlah KPI sudah diturunkan.

    "Saya amat yakin walaupun pada tahun ini bilangan KPl Menteri dihadkan kepada 25 saja, kita akan terus di hadapan daripada kementerian lain," katanya.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Lapan Fokus KDN Pada 2018 "