• Lambakan Jamu Komersial Ancam Kesihatan Pengguna

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+


    Ramai wanita melayu yang suka makan jamu, tidak dapat dinafikan mengamalkan jamu ini mempunyai khasiat tersendiri. Disebabkan jamu ini mula mendapat permintaan yang banyak terutama golongan wanita.

    Ramai peniaga yang mula menjual pelbagai jenis jamu di pasaran. Sebut sahaja jamu apa yang pengguna mahukan semua ada di pasaran. Antara jamu yang dijual di pasaran adalah jamu untuk mengetat, menegang dan pelbagai lagi.

    Tetapi, adakah anda tahu jamu yang dijual itu adalah betul-betul menggunakan bahan asli atau ada campuran yang dilarang Kementerian Kesihatan?

    Disebabkan ramai pengguna suka mengamalkan jamu tetapi tidak gemar dan tahu membuat sendiri jamu, mereka mengambil insentif untuk membeli sahaja jamu yang dijual di atas talian tanpa mengetahui terdapat bahan bahaya jamu terbabit yang boleh memberi kesan kepada kesihatan.

    Seorang pengguna, Azizah Bahadari mendedahkan dia hanya percaya kepada jamu buatan sendiri terutamanya jamu buatan bidan lama.

    “Kalau bidan lama, buatan sendiri di rumah, kepercayaan saya tinggi. Tetapi jika dikomersialkan, saya kurang percaya sebab bukan seorang dua yang menipu meletakkan bahan terlarang di dalamnya,” katanya.

    Selain itu, Mohd Amirul Khoiz, menasihati pengguna untuk membuat sendiri jamu berbanding membeli jamu yang dijual di pasaran.

    “Ubatan asli bermaksud bahan asal seperti pucuk-pucuk dan akar kayu yang perlu kita proses sendiri. Itu lebih baik berbanding jamu yang sudah siap sebab kita tidak tahu campuran yang digunakan.

    “Contohnya, apabila badan saya sakit, saya akan buat rebusan air halia dan serai,” katanya.

    Kesimpulannya, tiada alasan untuk wanita di luar sana mengatakan mereka tidak tahu untuk membuat jamu sendiri kerana sudah terdapat banyak petua yang dikongsikan di laman sosial cara untuk membuat jamu sendiri hanya menggunakan perkakasan di rumah.

    Janganlah mengambil mudah dengan kesihatan tubuh badan anda dengan mengambil sebarang jamu tanpa menyelidik dahulu kandungan yang digunakan didalam jamu itu. –utaranews

    Subjects:

  • No Comment to " Lambakan Jamu Komersial Ancam Kesihatan Pengguna "