• Lagu Aiman Tino Disenarai Malaysia Book Of Records

    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Penyanyi Aiman Tino mencipta sejarah apabila klip video single sulungnya, Ku Rela Dibenci tersenarai dalam Malaysia Book Of Records selepas ia mendapat jumlah tontonan tertinggi di laman perkongsian video, YouTube.

    Aiman atau nama sebenarnya, Mohammad Aiman Yusri berkata, dia terharu dan berbangga diberi pengiktirafan sebegitu dalam kerjaya seninya.

    "Saya tidak sangka dan terkejut apabila dimaklumkan lagu tersebut tersenarai sebagai lagu paling banyak mendapat tontonan.

    "Lagu itu sendiri sangat bermakna dalam hidup saya kerana di situlah bermulanya kerjaya sebagai anak seni," ujar Aiman,19.

    Sehingga kini, lagu ciptaan kedua ibu bapanya iaitu Yusri dan Riena itu mendapat lebih 43 juta jumlah tontonan di YouTube.

    Pelantun lagu Permata Cinta itu turut memberitahu majlis penyerahan sijil penghargaan atas kejayaan itu akan diadakan di sebuah hotel di ibu negara pada 16 Januari lepas.

    Kata Aiman lagi, kejayaan itu tidak akan berlaku tanpa sokongan jitu daripada para peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan terhadap dirinya.

    Meskipun ada yang memberi kecaman terhadap lagu tersebut, Aiman mengakui ia sedikit sebanyak turut memberi impak terhadap jumlah tontonan.

    "Saya ingin berterima kasih kepada penonton di seluruh dunia yang telah menonton muzik video tersebut di YouTube.

    "Walaupun awalnya dulu ramai yang mengecam lagu ini, saya bagaimanapun tidak boleh nafikan mereka turut menyumbangkan kepada jumlah tontonan," ujarnya. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Lagu Aiman Tino Disenarai Malaysia Book Of Records "