• KPI Ditetapkan Untuk Perkasa Wanita Sarawak

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 5 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata Indeks Pencapaian Utama (KPI) bagi tujuh teras utama yang disenaraikan untuk dicapai akan ditetapkan.

    Menurut Fatimah, tujuh teras utama dalam usaha kementerian untuk memperkasakan wanita di negeri ini ialah pendidikan dan kemahiran, institusi kekeluargaan, undang-undang, kepimpinan, kesihatan, ekonomi serta kebudayaan.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau memberitahu tujuh teras utama itu adalah sejajar dengan pengisytiharan 2018 sebagai Tahun Memperkasakan Wanita dalam pembentangan Bajet 2018 yang lepas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Kita akan menetapkan Indeks Pencapaian Utama (KPI) bagi setiap teras yang disenaraikan dan memikirkan bagaimana untuk mencapainya.

    “Sebagai contoh ekonomi, kita akan menetapkan berapa ramai usahawan wanita berjaya yang akan dilahirkan pada tahun ini dan dari situ kita akan merancang program-program yang sewajarnya untuk mencapai sasaran itu,” katanya.

    Tambahnya lagi, bagi merealisasikan perkara ini kementerian akan bekerjasama dengan jabatan-jabatan serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang lain.

    “Sebagai contoh dalam bidang kesihatan, kementerian akan bekerjasama dengan pihak kesihatan untuk mengadakan program-program kesihatan bagi menentang penyakit diabetes, darah tinggi dan sebagainya dalam kalangan wanita.

    “Begitu juga dalam bidang pendidikan dan kemahiran, di mana kementerian akan bekerjasama dengan institusi-institusi pendidikan dan kemahiran bagi memperkasakan wanita Sarawak dalam bidang ini,” ujarnya. – Sarawakiana
  • No Comment to " KPI Ditetapkan Untuk Perkasa Wanita Sarawak "