• Korea Utara Sedia Sertai Olimpik

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    SEOUL – Korea Utara menawarkan untuk menghantar barisan atletnya dan satu delegasi peringkat tinggi ke temasya Olimpik Musim Sejuk di Ko­r­ea Selatan semasa dua seteru itu me­ngadakan rundingan rasmi pertama dalam tempoh lebih dua tahun.

    Seoul menggesa pertemuan semula antara keluarga yang terpisah dalam Perang Korea 1950-1953 turut diadakan semasa temasya tersebut pada Februari depan.

    Rundingan semalam diadakan di Panmunjom, perkampungan gencatan senjata di Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan Semenanjung Korea.

    Menteri Penyatuan Semula Korea Selatan, Cho Myoung-gyon dan ketua de­legasi Korea Utara, Ri Son-gwon berjabat tangan di pintu masuk Rumah Keamanan di Panmunjom dan sekali lagi semasa di meja rundingan.

    Berdasarkan amalan standard Korea Utara, Son-gwon memakai lencana tertera gambar pengasas negara itu, Kim Il-sung dan anak lelakinya, Kim Jong-il di sebelah kiri kot yang dipakai oleh beliau.

    Myoung-gyon turut mengenakan lencana yang memaparkan bendera Korea Selatan.

    “Selain barisan atlet, Pyongyang mencadangkan untuk menghantar delegasi peringkat tinggi, penyokong, artis seni dan pasukan demonstrasi taekwondo ke sukan tersebut,” kata Timbalan Menteri Penyatuan Korea Selatan, Chun Hae-sung kepada wartawan.

    Seoul pula mengusulkan agar kedua-dua belah pihak berarak bersama pada upacara pembukaan Olimpik Musim Sejuk dan meminta penyatuan keluarga terpisah diadakan kembali.

    Suasana kali ini lebih akrab berban­ding pertemuan pada masa lalu, manakala Myoung-gyon memberitahunya bahawa Seoul percaya ‘tetamu dari Korea Utara akan menyertai ramai lagi atlet dari seluruh dunia’ semasa sukan Olimpik itu.

    “Rakyat mempunyai kemahuan yang kuat untuk melihat Korea Utara dan Selatan menuju ke arah keamanan dan penya­tuan semula,” tambah Hae-sung.

    Rundingan tersebut berbeza daripada retorik keras sejak beberapa bulan lalu yang menyaksikan pemimpin Korea Uta­ra, Kim Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump saling melemparkan cercaan dan mengugut untuk melancarkan perang.

    Pyongyang pula melancarkan peluru berpandu yang berupaya sampai ke ta­nah besar AS dan melakukan ujian nuklear keenam dan didakwa paling kuat.

    Seoul teruja untuk mengisytiharkan temasya Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, 80 kilometer ke selatan DMZ sebagai Olimpik keamanan tetapi ia memerlukan penyertaan Pyongyang untuk menjadikan deklarasi itu lebih bermakna. – AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Korea Utara Sedia Sertai Olimpik "