• Konkrit Runtuh Timpa Lelaki Bangladesh

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+

    Pekerja binaan warga Bangladesh maut tersepit dalam kejadian runtuhan bangunan di kawasan tapak pembinaan di Jalan Cochrane, Cheras, Kuala Lumpur kira-kira 5 petang, hari ini.

    Mangsa, Akhter Hosin, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sejurus binaan konkrit di tingkat tiga runtuh dan menimpa mangsa yang ketika itu dipercayai berada di tingkat bawah.

    Jurucakap bomba Kuala Lumpur berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 5.42 petang sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu bergegas ke lokasi kejadian.

    “Usaha mencari mangsa yang terselamat dilakukan anggota bomba sebelum sebahagian tubuh mangsa yang tersepit di bawah runtuhan batu ditemui tiga minit kemudian.

    “Kami terpaksa menggunakan jentera berat kren dan jengkaut dalam usaha mengeluarkan tubuh mangsa yang tersepit,” katanya.

    Difahamkan runtuhan membabitkan bangunan empat tingkat pencawang masuk utama milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

    Sementara itu, operasi mengeluarkan mayat mangsa berdepan kesukaran berikutan sisa runtuhan yang banyak menindih mangsa.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pudu Armdan Mahad berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kaedah manual untuk mengeluarkan mayat mangsa, Akhter Hosin, 20, memandangkan struktur lantai bangunan itu tidak stabil.

    “Struktur lantai yang tidak stabil dan sisa runtuhan yang banyak menghempap mangsa menyukarkan kami mengeluarkan mayat berkenaan.

    “Sehingga kini, kerja-kerja mengeluarkan mangsa masih giat dijalankan dan dijangka mengambil masa lebih satu hingga dua jam lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Armdan berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan berada di tingkat tiga sebelum berlaku runtuhan menyebabkan dia dihempap sisa runtuhan di tingkat satu bangunan berkenaan.

    “Siasatan awal mendapati lantai yang runtuh hanya membabitkan tingkat tiga dan 20 peratus daripada keseluruhan bangunan,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Konkrit Runtuh Timpa Lelaki Bangladesh "