• Komponen BN nafi wujud pertikaian agihan kerusi

    Published: Thursday, 25 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR : Komponen Barisan Nasional (BN) menafikan wujud beberapa pertikaian berkenaan agihan kerusi dalam kalangan komponennya ketika ini.

    Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata tiada masalah berbangkit, sebaliknya yang sedang dirundingkan adalah mengenai pertukaran kerusi oleh semua parti.

    Beliau berkata, MCA juga sah bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah di Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang, iaitu kerusi yang dipinjamkan kepada UMNO pada PRU-13.

    "Pembahagian kerusi tiada masalah bagi BN dan kita hanya berbincang pertukaran kerusi . MCA pun sudah dapat balik kerusi Gelang Patah," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Sungai Besi, hari ini.

    Pada Mei lalu, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya bersetuju meletakkan calon MCA untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah, namun calon parti itu akan ditentukan pucuk kepimpinan BN Pusat.

    Pada PRU-13, vateran DAP, Lim Kit Siang menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.

    Ditanya keyakinan DAP merampas kerusi Parlimen Bentong diwakili beliau, Tiong Lai berkata, MCA sentiasa berusaha dan bekerja keras untuk mempertahankan kerusi itu pada PRU-14 akan datang.

    Katanya, parti itu juga tidak pernah takut untuk sekali lagi berlawan dengan DAP di semua kerusi Cina.

    "DAP pun memang sasar untuk berlawan di kerusi MCA. Semua kerusi di seluruh kawasan (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) kita memang sedia untuk bertemu dengan sesiapa saja," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Komponen BN nafi wujud pertikaian agihan kerusi "