• 'Kita Tunggu Dan Lihat' - Tuan Ibrahim

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kepemimpinan PAS Pusat mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mengambil tindakan susulan, dalam isu pembekuan peruntukan kepada wakil rakyat parti itu di Selangor.

    Mereka masih bersikap optimis walaupun Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dimaklumkan pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU) negeri, bahawa peruntukan kepada wakil rakyat parti itu untuk tahun ini akan dibekukan.

    Timbalan Presiden parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata beliau berpegang kepada kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa proses itu sedang berjalan.

    "Saya masih percaya peruntukan itu tidak dipotong sebagaimana yang diuar-uarkan. Kenyataan dikeluarkan Azmin bahawa perlu masa kerana awal tahun dan proses sedang berjalan.

    "Kita akan tunggu dan lihat. Kenyataan awal semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) termasuk dari BN (Barisan Nasional) juga diberi.

    "Dan ini komitmen kerajaan Selangor yang berbeza dengan negeri di bawah BN yang langsung tidak memberi peruntukan kepada pembangkang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Tuan Ibrahim berkata, secara logiknya, jika Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR sanggup memberi peruntukan kepada wakil rakyat BN, sudah tentu wakil rakyat PAS akan turut diberikan kemudahan itu.

    BH Online pagi ini melaporkan kenyataan Sallehen bahawa pihaknya akan mendapatkan penjelasan Mohamed Azmin berhubung dakwaan pembekuan peruntukan tahunan sebanyak RM800,000 kepada setiap ADUN PAS itu.

    Sebelum itu, Mohamed Azmin menafikan Kerajaan Selangor menyekat peruntukan kepada wakil rakyat PAS di negeri itu.

    PAS memenangi 15 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-13, iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Chempaka, Meru, Dusun Tua, Tanjung Sepat, Sabak, Gombak Setia, Bangi, Seri Serdang, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Hulu Kelang.

    Bagaimanapun ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib serta ADUN Morib, Hasnul Baharuddin keluar PAS tidak lama selepas PRU-13 dan menyertai Parti Amanah Negara (PAN). - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Kita Tunggu Dan Lihat' - Tuan Ibrahim "