• Kim Jong-un Sedia Berdialog

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+

    SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un membuka jalan damai dengan menawarkan dialog kepada Korea Selatan, selepas memberi amaran kepada Amerika Syarikat, bahawa Pyongyang sedia memulakan perang nuklear, jika negaranya diancam.

    Jong-un menerusi ucapan tahun baharu yang disiarkan menerusi televisyen, mengisytiharkan negaranya pencinta kedamaian dan pemilik kuasa nuklear yang bertanggungjawab.

    Menerusi ucapan itu, Jong-un menyeru supaya mengurangkan ketegangan tentera dan memperbaiki hubungan dengan Korea Selatan.

    "Apabila menyentuh hubungan utara-selatan, kita perlu mengurangkan ketegangan tentera di Semenanjung Korea untuk mewujudkan persekitaran aman. Kedua-dua negara perlu berusaha," katanya.

    Pada masa sama, beliau turut mempertimbangkan untuk menghantar delegasi menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan, bulan depan.

    "Penyertaan Korea Utara dalam Sukan Musim Sejuk dilihat sebagai peluang terbaik untuk mempamerkan kebanggaan negara dan kami berharap ia akan berjaya.

    "Pegawai dari kedua-dua negara perlu mengadakan pertemuan segera untuk berbincang," katanya.

    Korea Selatan pada masa sama mengalu-alukan tawaran Jong-un, tetapi pakar berpendapat ucapan Jong-un jelas dilihat sebagai usaha untuk memisahkan Seoul daripada sekutu utamanya, Washington.

    "Kami kerap menyuarakan kesediaan untuk berdialog dengan Korea Utara pada bila-bila masa, demi membawa keamanan di Semenanjung Korea," kata jurucakap Presiden Korea Selatan. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Kim Jong-un Sedia Berdialog "