• Kim Jong-Un sedia bedil AS

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+
    SEOUL 1 Jan. - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa beliau mempunyai ‘butang nuklear’ di atas mejanya yang pada bila-bila masa boleh ditekan jika negaranya diancam.

    Namun pada masa yang sama Jong-un menegaskan bersedia mengadakan ‘dialog terbuka’ dengan Korea Selatan.

    Selepas selama setahun berbalas-balas ugutan dengan musuhnya, Jong-un dalam ucapan sambutan Tahun Baharu menyeru agar dikendurkan ketegangan ketenteraan di Semenanjung Korea dan memperbaiki hubungan dengan Korea Selatan.

    “Jika melibatkan hubungan Uta­ra-Selatan maka kita seharusnya mengendurkan ketegangan ketenteraan di Semenanjung Korea dan mencipta suasana aman. Kedua-dua negara patut berusaha (mencipta keamanan),” katanya.

    Jong-un berkata, beliau akan menimbangkan untuk menghantar delegasi negara ini ke sukan Olimpik Musim Sejuk yang akan diadakan di Pyeongchang, Korea Selatan, bulan depan.

    “Penyertaan Korea Utara dalam sukan ini merupakan peluang terbaik untuk menunjukkan kesatuan rakyat dan kami berharap temasya sukan ini akan berjaya. Para pegawai dari kedua-dua negara akan segera bertemu bagi membincangkan kemungkinan itu,” katanya.

    Menurut Jong-un, Korea Selatan sepatutnya mendekati Korea Utara berbanding menggalakkan AS meningkatkan tekanan yang ‘mengancam keselamatan dan keamanan Semenanjung Korea’.

    Dalam ucapannya juga, beliau menegaskan, negaranya akan memfokuskan pengeluaran ‘besar-besaran kepala peledak nuklear dan peluru berpandu balistik’ pada tahun akan datang.

    Melalui tindakan itu, katanya, AS tidak akan mampu untuk memulakan peperangan terhadap Korea Utara.

    “Seluruh AS kini dalam jangkauan senjata nuklear kita dan butang nuklear sentiasa ada di atas meja saya. Ini merupakan realiti bukan ancaman,” katanya.

    Beliau turut menegaskan, senjata tersebut akan digunakan jika keselamatan Korea Utara diancam.

    Sementara itu, pejabat Pre­siden Korea Selatan, Moon Jae-in berkata, pihaknya akan mengkaji ucapan tahun baharu Jong-un itu.

    Presiden AS, Donald Trump pula ketika ditanya oleh para pemberita tentang ucapan pe­mimpin Korea Utara itu hanya menjawab ‘kita akan lihat nanti’ sambil berlalu untuk meraikan sambutan Tahun Baharu di Mar-a-Lago. – Reuters/Utusan

    Subjects:

  • No Comment to " Kim Jong-Un sedia bedil AS "