• Khairy Senada Dengan TMJ

    Published: Friday, 19 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Bukan sahaja Selangor, pasukan lain yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) tidak akan dibenarkan menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang rasmi mereka.

    Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya senada dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berpendapat ikon warisan negara itu hanya dijadikan gelanggang berkecuali dan dikhaskan untuk pasukan kebangsaan.

    "Setakat hari ini, kita sudah terima banyak permintaan bukan hanya daripada sukan bola sepak, malah sukan lain seperti ragbi dan sebagainya untuk menggunakan Stadium Nasional.

    "Walaupun ada permohonan daripada pihak FAS (Persatuan Bolasepak Selangor) kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), saya melihat kenyataan Presiden FAM (Tunku Ismail) sebagai petunjuk bahawa ia mungkin boleh mengganggu jadual liga sekiranya Selangor bermain di stadium berkenaan.

    "Bukan hanya jadual liga, tetapi aktiviti lain di stadium berkenaan juga terganggu," katanya pada Majlis Pelancaran Digital Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke arah TN50 dengan sokongan Microsoft Malaysia, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

    Selasa lalu, hajat Selangor menjadikan Stadium Nasional sebagai gelanggang rasmi musim ini tidak kesampaian selepas Tunku Ismail yang juga Pengerusi Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) berpendapat mustahil untuk The Red Giants menggunakan stadium itu sepanjang tahun.

    Menurut Tunku Ismail, PSM dan FMLLP sudah berusaha bekerjasama bagi mengkaji permohonan Selangor itu, tetapi dengan beberapa aktiviti lain yang turut diadakan di stadium itu, menyaksikan banyak perlawanan membabitkan Selangor terpaksa dipinda sekali gus mengganggu kelancaran liga. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Khairy Senada Dengan TMJ "