• Keutamaan Rakyat Dalam Manifesto BN

    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+

    Barisan Nasional (BN) akan menjadikan manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sebagai yang terbaik dalam memperjuangkan nasib rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

    Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak berkata, semua manifesto dijanjikan akan dilaksanakan sebaik mungkin seperti manifesto PRU ke-13 yang lalu antaranya pemansuhan empat tol pada 1 Januari lalu.

    Katanya, manifesto itu akan diumumkan apabila tiba masanya dan menjadi keutamaan BN dalam memperjuangkan untung nasib rakyat.

    "Kita sudah dapat tempat di persada antarabangsa, dunia mengiktiraf Malaysia, yakinlah pada BN, beritahu dan yakinkan pengundi, inilah masanya, tampil menyokong BN.

    "Sebab (PRU-14) adalah masa depan negara yang sudah tentu keutamaan kepada rakyat akan dimasukkan dalam manifesto BN," katanya ketika berucap melancarkan portal therakyat.com di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur malam ini.

    Hadir sama Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengarah therakyat.com Shamsulbahrin Ludin serta presiden parti komponen BN.

    Portal therakyat.com akan menjadi wadah rasmi BN untuk PRU-14 dalam menyahut cabaran media baharu sebagai pemain utama pilihan raya kali ini.

    Najib yang juga Perdana Menteri berkata, media sosial kini mengambil alih tempat sebagai sumber terpenting rakyat mendapat maklumat, justeru BN perlu sentiasa dekat dengan rakyat untuk berkomunikasi dengan mudah.

    Katanya, dalam PRU ke-13 lalu, BN menjadi mangsa pelbagai sebaran maklumat palsu yang menjadi senjata pembangkang dan sedikit sebanyak membawa kesan kepada BN.

    Menurutnya, antara berita palsu disebarkan ialah mengenai 40,000 pengundi dari Bangladesh dan berlaku gangguan bekalan elektrik di beberapa tempat walaupun di siang hari.

    "Ada juga pemimpin pembangkang jam 4 pagi, mereka kononnya menang PRU walaupun waktu mengundi belum bermula. PRU ke-14 kita perlu gunakan platform media sosial untuk menangkis berita palsu itu," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Keutamaan Rakyat Dalam Manifesto BN "