• Kesengsaraan Nenek Nara Dapat Perhatian Kerajaan Sarawak

    Published: Tuesday, 30 January 2018
    A- A+
    BINTULU: Kurang 24 jam selepas kisah kesukaran hidup warga emas, Nara Empam, 60, bersama cucu lelakinya, Sebastian Sigai, 6, menjadi viral di laman sosial, Kerajaan Sarawak tampil menyalurkan bantuan segera kepada keluarga berkenaan.

    Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah turut mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cawangan Bintulu membantu meringankan beban warga emas itu yang terpaksa menjaga cucunya, dipercayai seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU).

    Beliau turut berterima kasih kepada The New Straits Times Press (NSTP) Sarawak kerana memaklumkannya kisah keperitan hidup keluarga terbabit yang tinggal di sebuah pondok usang berhampiran kawasan perkuburan Cina, di sini, sejurus kisah itu menjadi viral di laman sosial.

    "Sejurus menerima maklumat itu, kita mengarahkan pegawai JKM Bintulu `turun padang' menyiasat kes berkenaan dan membantu keluarga terbabit, termasuk mendaftarkan warga emas itu dan cucu lelakinya sebagai penerima bantuan.

    "Kita turut mengarahkan agar warga emas itu bersama cucu lelakinya dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan, selain diberikan rawatan berkaitan seiring dengan dasar keprihatinan Kerajaan Sarawak," katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

    Sementara itu, Pegawai JKM Bahagian bintulu, Taddy Ajin, berkata hasil siasatan dijalankan mendapati warga emas berkenaan layak menerima elaun bantuan bulanan RM350 di bawah Skim Bantuan Orang Tua.

    "Kita mendapati beliau layak menerima bantuan itu kerana tidak memiliki pendapatan tetap, kecuali menanam nanas yang mampu menjana pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan dari hasil jualannya.

    "Ia tidak mencukupi menampung perbelanjaannya, termasuk keperluan istimewa cucunya. Beliau menghadapi kesukaran membesarkan cucunya itu yang ditinggalkan ayahnya, yang juga anak lelaki sulung Nenek Nara selepas berpisah dengan isterinya sejak enam tahun lalu," katanya.

    Kisah Nenek Nara mencuri tumpuan ramai selepas menjadi viral di laman sosial, memaparkan kegigihannya menjaga cucu tunggalnya yang juga seorang OKU, termasuk menanam dan menjual nanas bagi mengumpul wang untuk mendaftarkan kanak-kanak itu bagi mengikuti kelas pra-sekolah.

    Malah, keadaan pondok usang didiaminya bersama cucu kesayangannya berhampiran tanah perkuburan turut meruntun hati komuniti pelayar laman sosial di seluruh negara.

    Sementara itu, Taddy berkata, JKM Bintulu memantau rapi keadaan cucu Nenek Nara, termasuk mengenalpasti status OKU kanak-kanak berkenaan bagi penyaluran bantuan berkaitan.

    "Ini termasuk mendaftarkannya sebagai OKU, sekali gus melayakkannya menerima elaun khas RM150 sebulan. Ini tentunya dapat membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung warga emas terbabit untuk menyara cucunya," katanya.

    Sementara itu, Nara ketika ditemui menyatakan beliau selama itu tidak mengetahui cucunya itu layak didaftarkan sebagai OKU dan menerima bantuan kerajaan kerana tidak berkemampuan membawanya menjalani pemeriksaan di hospital.

    "Saya cukup menghargai keprihatinan Kerajaan Sarawak, khususnya Datuk Seri Fatimah (Abdullah), JKM Sarawak dan beberapa pihak lain yang banyak membantu memudahkan kehidupan kami," katanya. - BHOnline
  • No Comment to " Kesengsaraan Nenek Nara Dapat Perhatian Kerajaan Sarawak "