• Kesan MH370 Hanya Libatkan Satu Kawasan Pencarian

    Published: Monday, 15 January 2018
    A- A+

    SYDNEY: Seorang ahli osea­nografi dari Pertubuhan Penyelidikan Industri dan Saintifik Komanwel (CSIRO) berkata, pencarian baharu pesawat MH370 perlu memfokuskan pada skala 35 darjah selatan di selatan Laut Hindi.

    Dr. David Griffin mahu kapal Ocean Infinity yang memulakan misi baharu pencarian tersebut menumpukan sekitar kawasan tersebut.

    Beliau mendakwa, pesawat itu berada di lokasi berkenaan selepas para penyiasat Australia percaya bahawa lima mod kawalan autopilot berbeza MH370 te lah dihidupkan semasa pesawat itu terhempas, lapor portal News.

    Namun menurut sumber media ABC, sumber yang rapat dalam siasatan itu memaklumkan hanya satu daripada lima mod autopilot itu yang menghala ke kawasan kemalangan pada 35 darjah selatan iaitu kawasan arus laut yang menuju ke Afrika.

    Ini turut menjelaskan kemungkinan serpihan dari pesawat MH370 telah ditemukan di pantai Afrika seperti Mauritius, Reunion Island, Tanzania dan Mozambique.

    Tiada sebarang serpihan yang ditemukan berhampiran pantai Australia.

    Griffin membuat kenyataan itu selepas Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) pada bulan Ogos tahun lalu menyiarkan laporan bagi pengecilan zon pencarian kepada separuh saiz Melbourne.

    Ketua Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett berkata, kapal Seabed Constructor yang meninggalkan pelabuhan Durban di Afrika Selatan pada minggu lalu dijangka akan sampai ke selatan Laut Hindi pada 17 Januari ini untuk memulakan pencarian.

    Kata beliau, lapan kenderaan laut dalam automatik yang dilengkapi kamera berteknologi tinggi, sonar dan pengesan akan digunakan dalam misi pencarian itu.

    Punkett memberitahu, dron laut dalam pula mampu meliputi pencarian seluas 1,200 kilometer persegi sehari dan menyelesaikan kawasan 25,000 kilometer persegi dalam tempoh sebulan.

    “Kami yakin akan menemukan pesawat ini, walaupun tidak boleh memberi jaminan tetapi kami percaya sistem kenderaan automatik itu berfungsi dengan baik untuk menjalankan tugas ini,’’ katanya.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Kesan MH370 Hanya Libatkan Satu Kawasan Pencarian "