• Kes RELA: Polis akan panggil Shafie Apdal

    Reporter: Yusz Man
    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+


    POLIS Sabah menerima 10 laporan berhubung kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwa menghina anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung isu berkenaan.

    “Setakat ini, kita terima 10 laporan polis berkaitan kes itu.

    “Polis sudah memulakan siasatan termasuk berusaha memanggil beliau (Mohd Shafie),” katanya kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

    Sebelum ini, beberapa kumpulan anggota RELA di seluruh negara membuat laporan polis meminta tindakan diambil terhadap Mohd Shafie kerana kenyataannya yang berkaitan RELA pada ucapannya di Tuaran baru-baru ini yang didakwa bersifat penghinaan.

    Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna didakwa mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah anggota RELA hanya layak untuk menjaga aliran trafik pada majlis kenduri.

    Semalam, Mohd Shafie berkata, beliau tidak perlu meminta maaf berhubung isu itu kerana dirinya tidak bersalah dan mendakwa perkara itu timbul selepas kenyataannya berkaitan RELA diputar-belit pihak tertentu.

    Katanya, apa yang beliau utarakan berhubung anggota RELA dalam ucapannya itu terkandung dalam Akta 752 (Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012) dan bukannya menghina.

    Beliau turut mendakwa kenyataannya itu merujuk kepada anggota RELA di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dan bukannya di seluruh negara.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Kes RELA: Polis akan panggil Shafie Apdal "