• Kereta Remuk Ditimpa Buah Nangka Dicampak Dari Flat

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+

    SINGAPURA: Jika di Malaysia, seorang remaja maut tragik ditimpa kerusi yang dicampak dari atas sebuah flat awam di Kuala Lumpur kelmarin, lain pula ceritanya berlaku di Singapura semalam.

    Sebiji buah nangka yang agak besar dilaporkan jatuh menimpa ke atas sebuah kereta di Blok 19G kawasan flat awam Ghim Moh petang Rabu menyebabkan kerosakan teruk pada bahagian bumbung dan cermin depan kenderaan itu.

    Gambar-gambar insiden pelik tersebut turut dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook tempatan bernama Sam Tan menunjukkan buah nangka bersaiz besar berada di jalan raya setelah melantun menghempap kereta itu.

    Netizen tersebut memberitahu agensi berita Mediacorp bahawa apabila tiba di tempat letak kenderaan di blok berkenaan untuk membeli makanan ibunya, dia ternampak ramai orang mengerumuni kereta yang rosak itu.

    “Bumbung kereta jenis Toyota itu kelihatan cukup remuk dengan dahsyat sekali manakala cermin depan pula pecah. Dua pegawai polis sedang mengambil keterangan daripada pemandu (pemilik kenderaan berkenaan),” kata Tan.

    Pihak polis Singapura dalam maklumannya kepada Mediacorp menyatakan bahawa mereka diberitahu mengenai insiden kemalangan aneh itu dan terus bergegas ke lokasi pada pukul 4.36 petang. Tiada kecederaan dilaporkan.

    Polis turut menambah bahawa siasatan masih lagi giat dijalankan untuk memburu suspek yang biadab itu kerana tiada pokok nangka tumbuh di sekitar kawasan parkir sekali gus menunjukkan ia memang dicampak secara sengaja.

    Ibarat pepatah lama Melayu iaitu buah nangka busuk yang tiba-tiba jatuh ke tanah bagi menggambarkan nasib malang seseorang, kes lucu itu turut menjadi bahan jenaka popular dalam kalangan netizen Singapura sendiri.

    Ramai dilaporkan malu bagaimana masih ada lagi penduduk republik itu selamba baling buah dari rumah mereka di sebalik imej positif negara tersebut yang amat terkenal dengan tahap disiplin tinggi terutama isu kebersihan awam.

    Di Singapura, nangka lazimnya banyak diimport dari Malaysia dan ia dijual di pasaran dengan harga S$6 (kira-kira RM18) setiap kilogram atau S$150 (RM448) bagi sebiji buah bersaiz paling besar. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Kereta Remuk Ditimpa Buah Nangka Dicampak Dari Flat "