• Kerap Berpindah & Tidak Lapor Diri Punca Bantuan Ditamatkan - Fatimah

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    KUCHING: Siasatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap wanita dan anak-anaknya yang tular di media sosial mendapati wanita tersebut tidak melapor diri di JKM serta kerap berpindah menyebabkan perkhidmatan bantuan yang diterimanya ditamatkan.

    Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, wanita berkenaan telah bercerai dan merupakan penerima bantuan JKM sebelum ini.

    "Wanita berkenaan tidak melapor diri ke JKM setiap bulan, selain tidak dapat dicari rumahnya, maka perkhidmatan bantuan ditamatkan," katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.

    Tambahnya, saudara mara wanita terbabit turut memberitahu bahawa wanita tersebut kerap berpindah-randah bersama anak-anaknya.

    "Pagi tadi (semalam) pegawai kami datang ke rumah wanita itu selepas mengetahui tentang perkara tersebut yang telah tular dan mendapati beliau berada di rumah.

    "Kita telah mengambil tindakan supaya beliau memohon semula bantuan JKM dan amat berharap orang ramai membantu dengan memaklumkan kepada kita sekiranya mereka masih ditemui berkeliaran," tegas beliau.

    Fatimah turut menasihatkan orang ramai agar segera berhubung dengan JKM sekiranya melihat kejadian serupa bagi mengelakkan salah fakta atau maklumat yang disalurkan digunakan bagi tujuan lain. - Sarawakiana
  • No Comment to " Kerap Berpindah & Tidak Lapor Diri Punca Bantuan Ditamatkan - Fatimah "