• Kerana Emas Palsu, Isteri 'Sehari' Balik Rumah Ibu Bapa

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    Seorang pengantin perempuan di Kecamatan Kebumen, Jawa Tengah, melarikan diri pulang ke rumah ibu bapanya sehari selepas majlis perkahwinan kerana barang kemas sebagai mas kahwin pihak lelaki adalah emas palsu.

    Wanita itu yang tidak dinyatakan namanya, diijab kabul dengan Abi Dwi, 25, pada 26 Disember lalu, namun selepas itu keluarganya mendapati barang kemas iaitu gelang tangan dan rantai sebagai mas kahwin adalah palsu.

    Selain itu, Menurut portal berita Liputan6, Abi juga gagal menunaikan janji untuk membiayai majlis perkahwinan yang diadakan keluarga pengantin perempuan.

    Kini wanita itu sedang dalam proses membatalkan perkahwinannya manakala Abi sudah ditahan polis.

    Bapanya, Ateng Wahyudi, 47, berkata keluarganya menganggap pernikahan itu tidak sah kerana mas kahwin tidak sama dengan yang dipersetujui sebelum ini sedangkan ia adalah syarat sah nikah.

    Berikutan itu, beliau membuat laporan polis mendakwa Abi menipu menyebabkan lelaki berkenaan ditahan polis.

    Menurutnya, lelaki itu bukan saja menipu mas kahwin, malah gagal menunaikan janji membiayai kos majlis perkahwinan 150 juta rupiah.

    Ketua Polis Kebumen, Iptu Mardi, berkata semalam, pihaknya menahan lelaki selepas menerima laporan mengenai penipuan mas kahwin dan gagal menunaikan janji membiayai kos majlis perkahwinan

    Polis juga menerima laporan daripada perancang majlis perkahwinan yang mendakwa Abi gagal menjelaskan kos majlis perkahwinan berkenaan.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Kerana Emas Palsu, Isteri 'Sehari' Balik Rumah Ibu Bapa "