• Kerajaan Persekutuan Sentiasa Prihatin Perkembangan Agama Islam Negeri - Ahmad Zahid

    Reporter: M. H. W.
    Published: Saturday, 13 January 2018
    A- A+

    BAGAN DATUK - Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan tidak pernah lepas tangan terhadap sebarang usaha mengembangkan serta memakmurkan agama Islam yang dipertanggungjawabkan di bawah kerajaan negeri.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata komitmen itu terbukti apabila kerajaan Persekutuan sentiasa menyalurkan peruntukan dan bantuan antaranya dari segi pendidikan dan pengurusan masjid kepada kerajaan negeri.

    "Seharusnya peruntukan 100 peratus datangnya daripada kerajaan negeri dan di bawah belanjawan negeri sendiri termasuk pengurusan masjid, pengurusan Sekolah Agama Rakyat dan Tahfiz. Itu undang-undang tubuh kerajaan negeri."

    "Walaupun bidang itu di bawah kerajaan negeri, tapi masih mendapat keprihatinan kerajaan Persekutuan dan kita bagi peruntukan untuk perkembangan agama Islam dalam pelbagai bentuk," katanya.

    Ahmad Zahid menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perasmian program Multaqa Permuafakatan Masjid, Surau dan Sekolah Agama Rakyat Daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak di sini, hari ini.

    Mengenai program hari ini, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata ia perlu diadakan setiap tahun bagi meningkatkan perpaduan dalam kalangan ummah seterusnya menghindari perbezaan pendapat.

    "Utamakan agama bukan untuk berpolitik, baru Islam benar-benar subur. Seperti Perhimpunan Solidariti Palestin yang diadakan di Putrajaya hujung tahun lalu, saya lakukan demi ummah, bukan politik atau untuk diri sendiri.

    "Saya mesti lakukan yang terbaik untuk agama Islam sementara saya menjawat jawatan ini (Timbalan Perdana Menteri). Negara Islam di dunia menghargai komitmen Malaysia dalam soal agama Islam tetapi kita juga kena lihat kelemahan dan kelebihan yang ada pada kita," katanya.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Persekutuan Sentiasa Prihatin Perkembangan Agama Islam Negeri - Ahmad Zahid "