• Kerajaan Mahu Labuan IBFC Jadi Pusat Cetuskan Aktiviti Ekonomi

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+
    LABUAN - Kerajaan berhasrat untuk menjadikan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) sebagai pusat yang dapat mencetuskan aktiviti ekonomi yang lebih bermakna di pulau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Beliau berkata sudah sampai masanya Labuan IBFC dilihat semula perjalanan operasinya supaya lebih memberi kesan limpahan dan diintegrasikan perjalanan operasinya dengan ekonomi tempatan.

    "Dan hari ini, kita turut melancarkan Pelan Transformasi Kewangan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) yang diharapkan akan membawa kesan yang diharapkan," katanya pada pelancaran Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030 di sini hari ini.

    Katanya Kerajaan Persekutuan sedar Labuan IBFC telah beroperasi sejak sekian lama dan berkembang menjadi antara pusat perniagaan pertengahan pesisir dan pusat kewangan yang berkembang pesat dan terkemuka di rantau Asia Pasifik.

    Beliau berkata Labuan sebagai pulau bebas cukai dan Labuan IBFC selama lebih 30 tahun telah memainkan peranan penting kepada negara.

    Najib juga berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa memastikan projek yang dirancang pelaksanaannya dapat memberi manfaat kepada rakyat.

    "Jika kita sebut tentang ekonomi dari dimensi yang lebih besar atau dari segi mikronya, kita tidak boleh lupa dan harus mengambil berat bahawa di samping kita memacu ekonomi pada peringkat mikro, kita mesti melaksanakan projek yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada rakyat," katanya.

    Beliau berkata pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) di Batu Arang, Labuan merupakan contoh komitmen kerajaan dalam memastikan projek yang dirancang memberi manfaat kepada rakyat.

    Katanya projek PPR itu melibatkan 500 unit rumah pangsa dengan kemudahan seperti surau, balai komuniti dan tadika.

    "Apa yang menarik, PPR Batu Arang ini akan disewa dengan kadar yang sukar dipercayai iaitu hanya RM124 sebulan, manakala, harga seunit PPR ini boleh disifatkan seperti harga musim jualan murah.

    "Ini kerana harga yang dijual hanya RM42,000 sahaja, sedangkan harga pembinaan seunit unit PPR ini melebihi RM215,000 dengan melibatkan subsidi kerajaan berjumlah RM173,000 setiap unit PPR," katanya.

    Najib berkata projek PPA1M dikhaskan untuk penjawat awam yang juga dibina di Batu Arang melibatkan 160 unit rumah teres satu tingkat dengan keluasan 1,000 kaki persegi dengan harga tawaran bermula pada RM190,000, iaitu 40 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

    "Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM3 juta dalam bentuk dana mudah cara sebagai subsidi untuk membantu penjawat awam di Labuan memiliki rumah ini," katanya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Mahu Labuan IBFC Jadi Pusat Cetuskan Aktiviti Ekonomi "