• Kerajaan Bincang Semula Konsesi Yang Menghimpit Rakyat

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 23 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kerajaan membincangkan semula beberapa konsesi berat sebelah yang ditandatangani oleh pentadbiran terdahulu untuk memastikan tidak ada syarikat swasta atau kroni menikmati pendapatan berlipat-ganda sehingga menjejaskan taraf hidup rakyat.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merujuk beberapa dasar yang ditandatangani kerajaan khususunya semasa era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti konsesi penjana tenaga bebas (IPP) sehingga menyebabkan rakyat terpaksa menanggung tarif elektrik yang tinggi.

    Malah katanya, penstrukturan lain yang sedang diusahakan kerajaan adalah untuk membangunkan sistem pengangkutan awam yang selama ini tidak menjadi keutamaan pemimpin terdahulu yang terlalu obses kepada penghasilan kereta nasional.

    “Ini semua membebankan rakyat, oleh itu kerajaan membincangkan semula konsesi-konsesi yang ditandatangani. Kita tidak mahu syarikat-syarikat swasta ini menjana pendapatan berlipat-ganda sehingga menjejaskan rakyat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Invest Malaysia 2018 yang dihadiri lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli korporat tempatan dan asing di sini hari ini.

    Tambah Najib, kerajaan di bawah kepimpinannya telah mempelajari banyak kesilapan pentadbiran lama yang perlu diperbaiki, khususnya ekonomi berasaskan kroni yang telah menghimpit kehidupan rakyat biasa.

    “Kita akan menjadikan negara ini lebih mesra perniagaan dan pada masa sama meningkatkan ketelusan dan kecekapan,” katanya. - UTUSAN ONLINE



    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Bincang Semula Konsesi Yang Menghimpit Rakyat "