• Kerajaan Balas Jasa, Tawar Rumah PPA1M Kepada Anak Pesara

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Peluang diberikan untuk anak pesara memiliki rumah mampu milik, Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) disifatkan sebagai usaha murni kerajaan membalas budi kepada lebih 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

    Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata ini berikutan dianggarkan 60 peratus daripada penjawat awam di negara ini, khususnya yang berada di bawah paras gaji RM3,000 masih tidak mampu memiliki rumah sendiri.

    "Ada kakitangan yang 'setia' bekerja 30 hingga 40 tahun tetapi masih tidak mampu memiliki rumah sendiri.

    "Justeru, saya berasakan peluang diberikan ini sebagai usaha murni kerajaan terhadap penjawat awam, kerana masih memikirkan kebajikan ahli keluarga kakitangan, tanpa melihat di sektor mana anak pesara kerajaan ini bekerja.

    "Sekurang-kurangnya ibu bapa yang tidak mampu membeli rumah ini boleh menumpang teduh di rumah anak mereka kelak," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa semalam, berhubung anak pesara kerajaan berpeluang membeli rumah mampu milik PPA1M berharga dalam lingkungan RM150,000 hingga RM300,000 bagi perumahan 'landed' dan berstrata.

    Sebelum ini, syarat permohonan PPA1M hanya terbuka kepada penjawat awam daripada semua gred jawatan, penjawat awam yang berpencen dan kontrak.

    Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, turut menyokong baik peluang diberikan kerana rumah adalah keperluan asas.

    Bagaimanapun, beliau menyarankan kerajaan untuk mengkaji secara keseluruhan harga rumah ditawarkan, supaya bersesuaian dengan tangga gaji rakyat negara ini.

    "Secara purata, graduan yang baru bekerja ditawarkan gaji kurang RM3,000. Dengan kos hidup termasuk hutang pinjaman, sukar untuk mereka memiliki rumah pada usia muda," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Balas Jasa, Tawar Rumah PPA1M Kepada Anak Pesara "