• Kerajaan Akan Wujudkan Lebih Banyak Kolej Komuniti

    Published: Thursday, 18 January 2018
    A- A+


    TASEK GELUGOR - Kementerian Pendidikan Tinggi akan mewujudkan lebih banyak kolej komuniti bagi memberikan peluang kepada tenaga muda untuk terus didedahkan dengan ilmu kemahiran.

    Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kerajaan berhasrat mewujudkan lima lagi kolej komuniti menjadikan sasaran kepada 100 buah kolej itu menjelang hujung tahun ini.

    "Kita memang ada beberapa lagi kolej komuniti baharu yang akan dibangunkan iaitu di Kelantan, Perak dan Terengganu. Saya akan menjelajah selepas ini kerana sebahagian besar telah siap dan sudah sedia untuk diserahkan dan dilaksanakan," katanya selepas merasmikan kampus baharu Kolej Komuniti Tasek Gelugor di sini hari ini.

    Idris berkata, pada masa ini terdapat 95 kolej komuniti di seluruh negara termasuk enam buah kolej berkenaan di Pulau Pinang.

    Mengenai Kolej Komuniti Tasek Gelugor, Idris berkata, penyediaan kampus baharu kolej berkenaan menelan belanja RM13 juta dan pada majlis tersebut kerajaan turut meluluskan peruntukan RM400,000 bagi pembinaan dewan serba guna kolej komuniti itu.

    "Ini merupakan kolej komuniti yang keenam di Pulau Pinang. Dengan program-program kolej komuniti ini kita harap akan dapat melaksanakan program TVAT (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) bagi memastikan tenaga muda dalam negara akan terus didedahkan dengan kemahiran-kemahiran baharu selaras dengan Revolusi industri 4.0," katanya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Kerajaan Akan Wujudkan Lebih Banyak Kolej Komuniti "