• Keputusan BNM Naikkan OPR Elak Risiko Kepada Ekonomi

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+
    NEW DELHI: Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus hari ini adalah berasaskan kepada kekuatan ekonomi negara.

    Perdana Menteri berkata, keputusan itu juga untuk mengelakkan Malaysia meneruskan rejim kadar faedah rendah yang boleh membawa risiko kepada ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

    "Bank Negara berpendapat sudah tiba masanya untuk menyeimbangkan kadar faedah Malaysia selepas enam suku.

    "Saya yakin kenaikan OPR ini tidak akan membebankan pengguna kerana kenaikannya sangat kecil. Namun, mereka yang menabung akan menerima faedah besar atas tabungan mereka.

    "Kalau kadar kita terlalu rendah dan tidak selaras dengan negara lain, ia juga boleh memberi kesan kepada ringgit dengan berlaku aliran keluar modal ke negara lain.

    "Jadi saya rasa tindakan ini juga akan mengukuhkan ringgit Malaysia," katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang media di sini, hari ini.

    Beliau mengulas tindakan BNM menaikkan OPR yang menjadi penanda aras rujukan pinjaman bank tempatan sebanyak 25 mata asas.

    Najib berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India yang bermula tengah hari semalam dengan sesi pemukiman yang disertai semua 10 pemimpin ASEAN dan Perdana Menteri India, Narendra Modi.

    Perdana Menteri juga akan menghadiri sambutan Hari Republik India, esok sebelum mengadakan perbincangan dua hala dengan Modi.

    Turut serta dalam rombongan Malaysia ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Keputusan BNM Naikkan OPR Elak Risiko Kepada Ekonomi "