• Keputusan bertanding Timbalan Presiden PBB diketahui Khamis ini - Fadillah

    Published: Tuesday, 30 January 2018
    A- A+
    KUCHING 30 Jan. - Bekas Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu, keputusan sama ada beliau akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden parti hanya dapat diketahui pada Khamis ini.

    Menurut Menteri Kerja Raya itu, setakat ini, beliau belum mengetahui jika ada perwakilan yang mencalonkan namanya memandangkan kertas pencalonan hanya ditutup esok.

    “Saya tidak tahu sama ada dicalonkan untuk merebut jawatan itu kerana keputusan mengenai perkara tersebut hanya diketahui pada Khamis ini, memandangkan proses pencalonan ditutup esok.

    “Dalam PBB memang tiada kuota pencalonan, jika menerima satu pencalonan pun sudah boleh bertanding,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Lestari Modal Insan Koperasi dan Bicara Ilmu `Transformasi Perniagaan Melalui Platform Digital : Potensi Dan Peluang’ di Dewan Hikmah di sini petang ini.

    Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada akan bersaing untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PBB pada Persidangan Perwakilan Tri Tahunan parti itu Februari depan.

    Sebelum ini, Ketua Menteri merangkap Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Openg memaklumkan akan ada pertandingan bagi merebut Jawatan Timbalan Presiden pada persidangan kali ini.

    Walau bagaimanapun, ujarnya, belum ada kertas permohonan daripada mana-mana calon diterima setakat ini.

    Terdahulu pada 12 Januari lalu, Abang Johari mengumumkan bahawa Fadillah dan Puan Sri Empiang Jabu tidak akan mempertahan jawatan sebagai Ketua Pemuda dan Wanita PBB pada konvensyen tiga hari bermula 9 hingga 11 Februari nanti. - UTUSAN ONLINE

  • No Comment to " Keputusan bertanding Timbalan Presiden PBB diketahui Khamis ini - Fadillah "