• Kenaikan OPR Elak Risiko Spekulasi Berlebihan

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Kadar faedah rendah yang dibiarkan untuk tempoh lama ketika ekonomi sedang berkembang, mengundang kegiatan spekulasi berlebihan bagi mencari pulangan pelaburan tinggi.

    Ketika ini, kadar deposit simpanan tetap bagi tempoh 12 bulan ialah 3.1 peratus, manakala kadar inflasi domestik tahun lalu ialah 3.7 peratus, menjadikan kadar pulangan pelaburan benar berada dalam paras negatif 0.6 peratus.

    Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata jika keadaan kadar pulangan pelaburan benar negatif dibiarkan berlarutan, pendeposit mungkin cenderung untuk mencari peluang pelaburan yang boleh memberikan pulangan lebih tinggi, bagi mengatasi kadar inflasi.

    Beliau berkata, lazimnya pelaburan yang menjana pulangan yang tinggi mempunyai risiko yang tinggi.

    "Perkara ini akan diburukkan lagi sekiranya seseorang itu kurang ilmu pengetahuan mengenai selok belok pelaburan dan mungkin terdedah kepada risiko penipuan terhadap skim pelaburan yang diragui atau skim cepat kaya.

    "Oleh itu, amat penting bagi rakyat Malaysia untuk memahami dan memproses maklumat dengan betul, apabila terdapatnya sesuatu perubahan dalam dasar ekonomi," katanya kepada BH bagi mengulas mengenai kesan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

    Mohd Afzanizam berkata, keadaan sedemikian pernah berlaku di Amerika Syarikat (AS), iaitu ekonominya merudum berikutan krisis subprima pada 2007 dan 2008.

    Beliau berkata, situasi itu berlaku apabila kadar faedah terlalu rendah ketika ekonomi AS mencatatkan pertumbuhan yang baik.

    "Ketika itu, banyak kegiatan untuk mencari pulangan pelaburan yang tinggi melalui pelaburan dalam aset yang didorong pinjaman perumahan, kepada peminjam yang mempunyai risiko kredit atau risiko mungkir yang tinggi.

    "Akhirnya, ia membawa bencana kepada ekonomi global, dan ekonomi di AS juga mengalami kemelesetan dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2008 dan 2009," katanya.

    Kenaikan OPR sebanyak 0.25 peratus kepada 3.25 peratus yang diumumkan oleh bank pusat itu juga, katanya, memberi manfaat positif kepada kadar deposit simpanan tetap di negara ini, pada masa ini lebih rendah berbanding kadar inflasi.

    "Ia bukan saja memberi manfaat positif kepada pendeposit simpanan tetap, malah menyokong ekonomi berkembang dengan lebih mapan, tanpa ada unsur ketidakseimbangan kewangan," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kenaikan OPR Elak Risiko Spekulasi Berlebihan "