• Kementerian Sumber Manusia Terajui TVET

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Monday, 22 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia akan menerajui pelaksanaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia, sebagai langkah menyelaraskan pelaksanaan program itu.

    Pada masa sama, Majlis TVET yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan menjadi badan induk tertinggi dalam memutuskan penggubalan dasar, pelaksanaan dan penyelarasan programnya di seluruh negara.

    Ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan TVET Malaysia peringkat menteri Bilangan 1 Tahun 2018 pada 16 Januari lalu, yang turut dihadiri wakil industri ke arah memperkasakan pelaksanaan program tenaga mahir negara itu.



    Sebelum ini, TVET Malaysia dikendalikan oleh tujuh kementerian dan agensi berkaitan.

    Tujuh kementerian terbabit ialah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata penyelarasan itu juga sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri pada 27 September tahun lalu dan ketika pembentangan Bajet 2018 mengenai pelaksanaan TVET Malaysia.

    Katanya, Kajian Pelan Induk TVET Malaysia berhubung pelan tindakan jangka panjang sehingga 2050 merangkumi isu permintaan dan penawaran TVET serta model pembiayaan lebih mapan, giat dilaksanakan.

    "Kajian ini dapat membantu penilaian semula program TVET sedia ada dan mencadangkan pembaharuan ke atas pendekatan serta kurikulum berkaitan TVET masa depan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Sejak tahun lalu, beberapa isu dan permasalahan membabitkan TVET ditimbulkan termasuk isu pengiktirafan, peruntukan pinjaman, sekolah harian yang menjalankan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) gagal ditauliahkan dan beberapa masalah lain berhubung pelaksanaannya.

    Riot berkata, kerjasama strategik antara semua kementerian menerusi identiti TVET Malaysia, akan menjadikan negara lebih bersiap siaga dalam menangani cabaran guna tenaga dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.

    "Pelaksanaan rancangan ini adalah manifestasi kesungguhan kerajaan dalam memastikan semua program dan projek TVET Malaysia, selaras aspirasi untuk mendaya upayakan rakyat di semua peringkat," katanya.

    Katanya, komitmen tinggi pelaksanaan TVET Malaysia dibuktikan kerajaan melalui peruntukan RM4.9 bilion menerusi Bajet 2018 yang akan disalurkan melalui tujuh kementerian dan agensi berkaitan.

    "Kementerian Sumber Manusia rancak meningkatkan usaha mengenal pasti dan menyelaras isu serta permasalahan, pelaksanaan program serta inisiatif, dan menyasarkan penetapan hala tuju melalui kerjasama strategik tujuh kementerian bersama pihak industri.

    "Ini bagi memastikan pelaksanaan TVET Malaysia selari dengan landskap ekonomi domestik dan antarabangsa, kemajuan teknologi semasa serta keperluan Industri 4.0 yang diperlukan pihak industri ketika ini," katanya.

    Mesyuarat Penyelarasan TVET Malaysia peringkat menteri pada 16 Januari lalu juga memutuskan untuk mempergiatkan TVET Malaysia ke arah meningkatkan tenaga kerja mahir daripada 28 peratus pada 2015 kepada 35 peratus menjelang 2020.

    Usaha juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti lulusan TVET daripada 164,000 graduan pada 2015 kepada 225,000 orang pada 2020 supaya agenda penyediaan tenaga mahir tercapai seperti mana sasaran Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).-BH

    Subjects:

    Nasional
  • No Comment to " Kementerian Sumber Manusia Terajui TVET "