• Kementerian Pertahanan Tumpu Pendidikan Anak Tentera

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Thursday, 11 January 2018
    A- A+


    KLUANG: Kementerian Pertahanan komited memastikan agenda membela nasib dan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), warga kementerian dan ahli mereka diperkukuhkan termasuk menyediakan kemudahan serta akses pendidikan terbaik.

    Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Pelan Tindakan Agenda Pendidikan Hala Tuju 2018-2022 yang dilancarkan hari ini, membuktikan keprihatinan kerajaan membela nasib dan kebajikan warga ATM khususnya dalam bidang pendidikan.

    "Ia cukup bersejarah kerana apa yang kita bentangkan ini secara telus dan bukan bermusim, ini janji serta ikrar dan komitmen kita kepada anggota serta keluarga mereka.

    "Mereka boleh pegang pada janji kita kerana kita sudah buktikan sebelum ini, program berjalan tetapi kita nak anjakkan kepada tahap lebih bermakna," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Tindakan Agenda Pendidikan Hala Tuju 2018-2022, di Batalion Ke-5 Rejiman Askar Melayu Diraja, di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak.

    Hishammuddin berkata, pelan tindakan itu mula dirangka sejak awal tahun lalu dan menjadi antara inisiatif utama yang digerakkan di bawah Teras Kebajikan Kementerian Pertahanan yang dikelokakan Pasukan Khas Pendidikan.

    Katanya, bagi memastikan pelan tindakan itu berimpak tinggi, ia turut membabitkan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan kementerian lain termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

    Beliau berkata, pelan tindakan itu membabitkan 38 sekolah di kem di seluruh negara, selain Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

    Subjects:

  • No Comment to " Kementerian Pertahanan Tumpu Pendidikan Anak Tentera "