• Kelantan Sambut Baik Usaha Sekat Berita Palsu

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+
    KOTA BHARU: Kelantan menyambut baik usaha Kerajaan Pusat mahu menggubal undang-undang baharu berkaitan penyebaran palsu di laman sosial yang boleh mengancam kestabilan politik dan ketenteraman awam.

    Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata usaha untuk menangani perbuatan tidak bermoral itu amat sesuai terutama situasi sekarang banyak media sosial menyiarkan maklumat tidak benar.

    Katanya, apa yang disebarkan itu mengelirukan masyarakat dan boleh mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

    "Elok sangat sekiranya Kerajaan Pusat ada usaha yang baik untuk menangani masalah berkenaan.

    "Banyak masalah timbul setiap berita disebarkan tidak benar itu. Ia bukan sahaja memberi gambaran salah dan persepsi negatif, sebaliknya mampu mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

    "Kita setuju usaha yang mahu dibuat itu kerana ada segelintir media sendiri mengeluarkan maklumat tidak betul. Kadang-kadang berita mengenai Kelantan diseleweng.

    "Sebab itu, kita selalu pesan kepada wartawan dan akhbar supaya menulis dengan betul kerana tanggungjawab di akhirat nanti," katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco, di sini, hari ini.

    Akhbar sebelum ini melaporkan, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan mengkaji penggubalan undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu di media sosial berikutan kesan tindakan tidak bermoral itu membimbangkan dan mengancam kestabilan politik serta ketenteraman awam.

    Berita palsu sedemikian, kata Perdana Menteri, boleh membuatkan rakyat terpesong seperti membenci pihak tertentu termasuk kerajaan dan merusuh hanya kerana terpedaya dengan dakyah.

    Katanya, usaha dilakukan itu bukan untuk mengawal internet sebaliknya ia masih bebas, namun perlu ada unsur tanggungjawab. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kelantan Sambut Baik Usaha Sekat Berita Palsu "