• 'Kelab Dangdut' Kampung Telari Timbulkan Keresahan

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 24 January 2018
    A- A+

    KUALA TERENGGANU: Kemunculan mendadak tarian dangdut yang menampilkan unsur lucah dengan penari berpakaian seksi membawa lenggok tarian yang mengghairahkan di Kampung Telari, di sini mencetuskan rungutan penduduk.

    Sedangkan sebelum ini perkampungan itu terkenal begitu memelihara budaya tradisional seperti dikir barat sebagai hiburan bersama rakan-rakan dan juga anggota keluarga yang diadakan sebulan sekali.

    Namun kini persembahan hiburan itu tidak lagi ditonjolkan sejak beberapa tahun lalu, hingga dangdut mengambil tempatnya dengan daya tarikan yang kuat, hingga mampu menggamit warga emas berkopiah.

    Ada pula penonton membawa bersama anak-anak kecil menyaksikan tarian yang tidak bermoral itu, seolah-olah itu tarian biasa sahaja.

    Persembahan kelab dangdut itu bermula 9 malam hingga 12 tengah malam dengan menampilkan empat penyanyi wanita berpakaian seksi dan menari dengan gaya mengghairahkan bersama lagu berbaur lucah.

    Seorang penduduk kampung (lelaki) terbabit berusia 40-an yang enggan dikenali berkata persembahan dangdut dilakukan dua hingga tiga kali seminggu tanpa jadual tetap.

    "Kita orang kampung dah banyak kali tegur tapi tidak diendahkan kerana kawasan yang digunakan untuk persembahan tersebut adalah tanah persendirian dan orang kampung tidak boleh berbuat apa-apa.

    "Penyanyi yang membuat persembahan ini kebanyakan diambil dari negeri jiran (Kelantan), dan mereka ini dibayar anggaran RM400 seorang untuk membuat persembahan satu malam," katanya kepada Bernama.

    Beliau juga tidak menafikan masyarakat kampung mulai berasa terganggu dengan kebingitan muzik dangdut hingga ada yang sukar melelapkan mata.

    Sementara itu, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Wan Ismail Sahaimi Wan Omar yang dihubungi berkata pihak penguatkuasaan syariah JHEAT mengesahkan bahawa ada beberapa kali menerima aduan daripada penduduk Kampung Telari.

    "Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan penduduk kampung berkenaan," katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " 'Kelab Dangdut' Kampung Telari Timbulkan Keresahan "