• Kekejaman Tentera Myanmar Tak Bernoktah

    Published: Monday, 8 January 2018
    A- A+

    Dirogol, diikat, dibungkus dan ditinggalkan di tepi jalan. Itu nasib seorang remaja perempuan yang meninggal dunia selepas diseksa di sebuah kem di Arakan, kelmarin.

    Dia yang dibawa ke kem berkenaan dari kampungnya tiga hari lalu, ditemui dalam bungkusan plastik besar oleh penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan.

    Ia menimbulkan ketegangan di kem penempatan di Arakan, ketika bantuan antarabangsa hanya dapat menyalurkan sebilangan kecil sumbangan berikutan kawalan ketat oleh tentera.

    Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, gambar yang begitu menyayat hati itu dikongsikan ahli gabungan MAPIM di sana, keganasan terbaru dilakukan pihak berkuasa negara itu kepada etnik Rohingya.

    "Sedih melihat si bapa yang memeluk anaknya yang terbujur kaku di tepi jalan. Dua hari lalu, tentera datang ke kampungnya dan memaksa anak perempuannya itu mengikut mereka ke kem.

    "Dua hari tanpa sebarang berita, akhirnya mayat anak itu ditemui di tepi jalan dalam bungkusan plastik. Ada kesan cedera. Ia satu lagi tindakan kejam dari tentera di sana," katanya kepada Harian Metro.

    Ahmad Tarmizi berkata, ketika ini MAPIM dibantu pertubuhan antarabangsa lain sedang mengusahakan bantuan untuk dibawa masuk ke Arakan sebagai bantuan segera kepada etnik Rohingya yang tinggal di dalam ketakutan sejak operasi ketenteraan pada 25 Ogos tahun lalu.

    Katanya, di sebelah Bangladesh tidak bermasalah kerana kerajaan negara itu mengalu-alukan pelbagai jenis bantuan masuk dan diuruskan banyak pihak.

    "Masalahnya di sebelah Arakan. Mereka masih dikawal ketat tentera yang membuat pos kawalan di hampir semua pintu masuk ke kampung, walaupun sebahagian besarnya sudah musnah dibakar sebelum ini. Orang ramai yang inign menyumbang boleh mendapatkan maklumat menerusi laman Facebook MAPIM," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Kekejaman Tentera Myanmar Tak Bernoktah "