• Kejutan Parti PAN Di Sarawak Hanya 'Angan-Angan'

    Published: Thursday, 4 January 2018
    A- A+
    Kenyataan Pengerusi Parti Amanah Nasional (PAN) Sarawak Fidzuan Zaidi mengenai jangkaan kejutan bakal dilakukan Pakatan Harapan (PH) Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lebih kepada 'angan-angan' sahaja.

    Fidzuan dengan yakin menyatakan kejutan yang bakal berlaku di beberapa kerusi Parlimen didorong 'mood' rakyat ketika ini banyak menolak Barisan Nasional (BN).

    Namun Fidzuan sebenarnya perlu sedar banyak juga rakyat yang menolak pembangkang dan BN mungkin juga boleh melakukan kejutan untuk merampas kembali kerusi Parlimen di Sarawak yang disandang pembangkang.

    BN dilihat mempunyai peluang cerah untuk merampas kembali beberapa kerusi yang dimenangi DAP sebelum ini melibatkan Lanang, Sibu dan Sarikei.

    Sepanjang berlangsungnya pilihan raya di Sarawak, hanya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) nampak kuat jika dibandingkan dengan PAS ataupun PAN.

    Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas amat jelas menyaksikan rakyat Sarawak menolak PAN apabila semua kerusi yang ditandingi parti pembangkang tersebut tumpas dengan teruk.

    Fidzuan sepatutnya mengukur baju di badan sendiri sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

    Jika benar mahu menawan hati rakyat, PAN di Sarawak perlu berkhidmat sepanjang masa dan bukan hanya wujud semasa pilihan raya sahaja.

    Malah, PAN di Sarawak juga dilihat tidak mempunyai pemimpin berkaliber dan calon hebat yang boleh diketangahkan.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Pengerusi PH Sarawak yang juga Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebelum ini berkata, perancangan umum terutama bilangan dan peruntukan kerusi ditandingi dalam kalangan PH kekal seperti PRU13.

    Cuma kali ini lima kerusi diperuntukkan kepada PAS sebelum ini iaitu Kota Samarahan, Batang Sadong, Tanjung Manis, Igan dan Sibuti kini menjadi milik PAN.

    Dengan lima kerusi diperuntukkan kepada PAN, adakah parti tersebut mampu melakukan kejutan di kawasan yang merupakan kubu kuat BN?-Sarawakiana

    Subjects:

  • No Comment to " Kejutan Parti PAN Di Sarawak Hanya 'Angan-Angan' "