• Kehidupan Weah Ibarat Skrip Filem

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Sunday, 7 January 2018
    A- A+

    LONDON: Arsene Wenger membandingkan kehidupan George Weah seperti sebuah skrip filem berikutan pelantikan bekas pemainnya sebagai presiden Liberia.

    Weah, yang pernah menyarung jersi Monaco, Paris Saint-Germain dan AC Milan sepanjang karier gemilangnya, minggu lalu meraih kemenangan dalam peralihan kuasa buat kali pertama di negara Afrika Barat itu dalam tempoh berdekad lamanya.

    Weah, 51, yang digelar sebagai ‘Mister George’ di Liberia, bakal mengangkat sumpah pada 22 Januari, menggantikan Ellen Johnson Sirleaf, yang memimpin negara itu pada 2006.

    Pengurus Arsenal Wenger turut diundang ke majlis pelantikan Weah tetapi menjangkakan beliau terlalu sibuk untuk menghadirinya, di mana hari itu jatuh dua hari sebelum aksi kedua separuh akhir Piala Liga menentang Chelsea.

    Wenger mendapatkan khidmat Weah pada 1988 ketika beliau menjadi pengurus Monaco, membimbing pemain itu untuk empat tahun berikutnya dan menganggap pemain tahunan terbaik FIFA 1995 itu sebagai contoh terbaik dalam sukan itu.

    “Saya menerima undangan George pada hari beliau dilantik sebagai presiden. Saya rasa saya akan sibuk ketika itu. Mungkin jika saya digantung, saya ada masa untuk ke sana,” seloroh Wenger.

    Biarpun digantung tiga perlawanan atas tindakannya selepas Arsenal mencatat seri di West Brom, Wenger akan kembali berada di padang pada pertengahan Januari.

    “Apa yang penting apabila anda melihat kepada kehidupannya, saya fikir hidup lelaki ini bagaikan sebuah filem sebenar, ia sukar dipercayai. Anda boleh membuat sebuah filem hebat.

    “Saya masih ingat kali pertama melihatnya di Monaco, dia bagaikan hilang arah, tidak mengenali sesiapa, tidak disanjung oleh sesiapa sebagai seorang pemain dan selepas itu pada 1995, menjadi pemain terbaik dunia.

    “Kini beliau adalah presiden negaranya, ia satu kisah luar biasa. Namn satu perkara pasti adalah sikap George yang mempunyai kekuatan mental dan yakin beliau mempunyai misi dalam hidupnya.”-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Kehidupan Weah Ibarat Skrip Filem "