• Kediaman polis dinaik taraf

    Published: Friday, 26 January 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua kediaman dan berek polis dinaik taraf dan dibaik pulih bagi memastikan ia menepati Dasar Perumahan Negara 2.0.

    Timbalan Perdana Menteri berkata, sejumlah RM13 juta diperuntukkan sebagai permulaan untuk membaik pulih dan menaik taraf 15 blok di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras.

    Katanya, usaha menaik taraf dan membaik pulih itu melambangkan keprihatinan kerajaan kepada anggota polis serta keluarga mereka.

    "Kita mahu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga masing-masing berada dalam keadaan baik kerana mereka adalah barisan hadapan keselamatan dalam negara," katanya dalam sidang media selepas melawat markas PGA Cheras, di sini, hari ini.

    Turut mengiringi beliau ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

    Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan KSU Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, sudah meminta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah melihat semua PGA yang memerlukan penambahbaikan untuk kerajaan menyalurkan peruntukan khas.

    Katanya, KDN juga sudah memohon peruntukan bagi membolehkan lebih banyak kediaman anggota polis dinaik taraf.

    "Berek sedia ada memang tidak mencukupi. Kita ada lebih 130,000 anggota, tetapi bilangan berek tidak mencapai jumlah itu.

    "Menerusi peruntukan tambahan, proses penambahbaikan akan dibuat secara berperingkat," katanya .

    Ahmad Zahid berkata, keutamaannya adalah menaik taraf berek yang mempunyai dua bilik menjadi tiga bilik.

    Pada masa sama, katanya, KDN turut memohon peruntukan khas bagi kemudahan asas lain seperti rumah ibadat, tempat rekreasi dan dewan di kawasan kediaman anggota polis.

    Beliau turut mengumumkan sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan dibuka di Bagan Datuk dengan keutamaan kepada anak anggota polis.

    "MRSM itu akan menjadi sekolah ulul albab yang mengutamakan pengajian al-Quran dan hafazan kerana kita mahu melahirkan profesional yang boleh menghafal al-Quran," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kediaman polis dinaik taraf "