• Ke Arah Kemajuan ICT Dalam Industri Pembinaan

    Published: Tuesday, 2 January 2018
    A- A+

    PRODUKTIVITI disifatkan sebagai enjin pertumbuhan utama ke arah sasaran ekonomi pendapatan tinggi Malaysia.

    Sebagai sektor penting kepada kemajuan negara, industri pembinaan perlu mencapai tahap produktiviti tinggi melalui penerapan teknologi baru dan amalan moden yang cekap serta tenaga kerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

    Bagaimanapun, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), berkata penggunaan teknologi maklumat seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) terhad disebabkan pelbagai faktor.

    "Antaranya adalah kos yang tinggi, kekurangan kemahiran yang mampu menyediakan pelan BIM, kekurangan rujukan standard, dan kekurangan pengetahuan dalam kalangan pihak berkuasa tempatan dan pengawal selia," katanya.

    Bina model projek

    Baru-baru ini, CIDB melancarkan Pusat MyBIM sebagai pusat sumber sehenti bagi menggalakkan penggunaan Model Bangunan Bermaklumat (BIM) dalam kalangan penggiat industri pembinaan.

    Pusat itu membolehkan penggiat industri membina model dan gambaran bagi projek bangunan dalam persekitaran simulasi dengan menggunakan BIM untuk menghasilkan, menyampaikan dan menganalisis model maklumat digital sepanjang kitaran hayat projek pembinaan.

    Diiktiraf sebagaiteknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang canggih, BIM membolehkan pengguna mereka bentuk, menggambarkan, mensimulasi dan menganalisis ciri-ciri fizikal dan fungsi utama setiap elemen projek secara maya dan sebelum pembinaan bermula.

    CIDB berkata, sejajar teras produktiviti, pelaksanaan Sistem Bangunan Industri (IBS) adalah inisiatif utama yang sedang dilaksanakan.

    "Menerusi IBS, pemaju boleh melengkapkan projek mereka dalam tempoh yang lebih singkat. Bagi pembeli, rumah IBS adalah ideal kerana ia mengurangkan masa menunggu.

    "Satu daripada sasaran utama yang sedang diusahakan adalah ke arah dasar mandatori untuk projek sektor swasta bernilai bawah RM50 juta untuk menggunakan IBS dan mencapai sekurang-kurangnya 50 skor IBS menjelang 2020," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Ke Arah Kemajuan ICT Dalam Industri Pembinaan "