• Kastam Kenal Pasti 5,000 Syarikat Tipu GST

    Published: Saturday, 20 January 2018
    A- A+


    PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah berjaya mengenal pasti 5,000 syarikat yang didapati menipu agensi itu daripada membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

    Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam dan menjelaskan syarikat terbabit ada sengaja buat tuntutan palsu untuk elak bayar GST yang dikenakan ke atas pengguna mereka kepada agensi tersebut.

    Beliau menambah, jumlah berkenaan direkodkan sejak sistem pencukaian itu dilaksanakan pada 2015 daripada keseluruhan 465,000 syarikat yang berdaftar di bawah GST dan kertas siasatan telah dibuka terhadap pihak terlibat.

    “Kita sebelum ini telah pun mengambil pendekatan mesra dengan turun padang bertemu untuk memberi penerangan kepada syarikat-syarikat berhubung cara mengisi borang mengisytihar GST.

    “Jika ada kesilapan, pihak kastam memberi khidmat nasihat. Namun jika masih berdegil dan menipu, tindakan tegas diambil menerusi peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

    Subromaniam sebelum itu menyempurnakan program Kayuhan Amal Kastam 1Malaysia (KA1M) yang disertai 6,255 peserta di 10 lokasi seluruh negara sekali gus mencipta rekod Malaysia Book Of Records (MBOR).

    Acara tahunan berkenaan diiktiraf sebagai program kayuhan amal terbesar secara serentak di negara ini namun kali ini dihadkan kepada peserta berusia bawah 60 tahun. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Kastam Kenal Pasti 5,000 Syarikat Tipu GST "