• Kapal Tangki Iran Mungkin Terbakar Sebulan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 10 January 2018
    A- A+


    SEOUL: Kapal tangki minyak Iran di laut timur China dijangka terus terbakar sehingga sebulan, ketika kebakaran berterusan pada hari keempat selepas ia bertembung dengan sebuah lagi kapal kargo.

    Kementerian Lautan dan Perikanan Korea Selatan berkata kepada Reuters hari ini, puluhan bot penyelamat terpaksa mengharungi angin kuat, ombak tinggi dan asap beracun di kawasan seluas 900 batu nautika persegi untuk mencari 31 anak kapal yang hilang.

    Selain mengawal kebakaran, wujud kebimbangan dalam kalangan anggota penyelamat bahawa kapal itu mungkin meletup dan karam.

    "Kami percaya kebakaran akan berterusan antara dua minggu hingga sebulan berdasarkan beberapa kes kemalangan kapal tangki sebelum ini.

    "Apa yang membimbangkan kami ketika ini ialah minyak tar. Ia akan mencemarkan air jika kapal ini karam," kata pegawai kementerian itu, Park Sung-dong.

    Kapal tangki Sanchi yang dikendalikan syarikat perkapalan minyak utama Iran, National Iranian Tanker Co bertembung dengan kapal kargo CF Crystal yang membawa bijirin dari Amerika Syarikat, kira-kira 160 batu nautika dari pesisir pantai China berhampiran Shanghai.

    Ketika nahas, Sanchi membawa 136,000 tan minyak gas asli, iaitu sejenis minyak amat ringan yang mudah terbakar, ke Korea Selatan.

    Jumlah muatan itu bersamaan sejuta tong minyak dan dianggarkan bernilai AS$60 juta (RM240.50 juta). - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Kapal Tangki Iran Mungkin Terbakar Sebulan "