• Kanak-kanak Zaman Sekarang Lebih Cepat Murung

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Saturday, 6 January 2018
    A- A+


    KANAK-kanak berumur seawal 10 tahun yang terdedah dan terlalu bergantung kepada media sosial mendapatkan perhatian berisiko mengalami kemurungan.

    Dailymail mengatakan ramai pelayar cilik mengubah diri sendiri semata-mata untuk mendapatkan perhatian lebih dari media sosial.

    Ketua Pesuruhjaya Kanak-kanak England di Britain, Anne Longfield menyebut pendedahan awal kanak-kanak kepada media sosial memberikan impak besar kepada emosi mereka kerana masih belum mampu menghadapi tekanan yang dialami ketika berada di laman sosial.

    Katanya, Snapchat, WhatsApp dan Instagram merupakan antara media sosial paling popular yang digunakan kanak-kanak walaupun umur sah untuk menggunakan laman-laman tersebut adalah 13 tahun.


    Kanak-kanak terlibat kemudian menggunakan peluang memuat naik foto untuk mengenali ramai kawan selain menarik perhatian dan mendapatkan 'Likes'.

    Kaji selidik yang dijalankan melaporkan golongan muda merasakan persahabatan mereka dengan warga laman sosial lain terancam apabila mereka tidak diberikan perhatian sepenuhnya.

    Kata Anne lagi, generasi kanak-kanak kini membesar dengan kerisauan mengenai imej mereka di laman maya.

    Ini menyebabkan mereka yang terlibat mengikuti gaya hidup yang tidak realistik, ketagih dengan laman sosial dan tidak mahu menghentikan tabiat tersebut.

    "Apa yang sepatutnya bermula sebagai sesuatu yang seronok dan digunakan bersama keluarga dan kawan berubah menjadi sesuatu yang berisiko untuk memberikan tekanan apabila berinteraksi di laman sosial.

    "Laman sosial memberikan banyak kebaikan kepada kanak-kanak, tetapi pada masa yang sama, mereka terdedah kepada krisis emosi," kata Anne.

    Tambahnya, kanak-kanak akan membandingkan diri mereka dengan pelayar kanak-kanak lain dan perbuatan tersebut cenderung untuk merosakkan imej mereka dan keupayaan mereka untuk berkembang.-SH

    Subjects:

  • No Comment to " Kanak-kanak Zaman Sekarang Lebih Cepat Murung "