• Kanak-Kanak 12 Tahun Tersepit Pada Pagar

    Published: Wednesday, 31 January 2018
    A- A+

    Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menempuh detik menakutkan apabila tubuhnya tersepit selama 10 minit di ruang pagar di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor, petang semalam.

    Dalam kejadian 6.30 petang itu, mangsa dipercayai cuba melepasi ruang antara pagar dan tiang masjid berkenaan sebelum tersepit.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Pegawai Bomba Kanan II Roslan Asri berkata, sepasukan lapan pegawai dan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

    "Setibanya di lokasi kejadian, anggota kita mendapati kanak kanak itu sedang ditenangkan oleh orang ramai.

    "Kita mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alatan hidrolik khas," katanya.

    Menurutnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada ibu bapanya.

    Kata Roslan, operasi ditamatkan pada 6.41 petang.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Kanak-Kanak 12 Tahun Tersepit Pada Pagar "